HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2013

Unit Amal dicadang bantu cegah jenayah

Dr Nazrul Izzuan Mohamad Idris,


Mutakhir ini, saban hari kita melihat dan mendengar pelbagai kes jenayah berlaku di seluruh negara, daripada kes rompakan bersenjata, ragut, samun, pergaduhan, samseng jalan raya, jenayah rogol, bunuh dan terbaru tembakan ala mafia.

Oleh hal yang demikian, saya mencadangkan supaya PAS selaku parti Islam, jemaah Islam, harakah Islamiyah atau gerakan Islam bertindak proaktif dalam mencegah jenayah yang sangat menggerunkan di Malaysia ketika ini.

Walaupun kKekuatan anggota polis telah dipertingkatkan, namun kita lihat masih banyak berlaku jenayah seolah-olah kekurangan anggota. Walaupun rondaan dibuat, namun kes jenayah masih berlaku dengan statistik yang sangat tinggi. Malaysia bukan lagi negara yang selamat.

Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tidak kira bangsa, agama, tempat dan masa.

Oleh itu, sudah tiba masanya PAS sebagai gerakan Islam, mempamerkan Islam yang syumul dan sama-sama menggembleng tenaga mewujudkan pasukan rondaan dan cegah jenayah kelolaan PAS sendiri.

PAS sudah ada unit AMAL. Kecekapan dan keberkesanan mereka telah terbukti berkali-kali terutama bertindak semasa menjaga dan membantu anggota polis mengawal lalu lintas semasa siri demonstrasi, ceramah politik, menjaga keselamatan pimpinan PAS, terlibat dalam operasi membantu mangsa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan pelbagai lagi.

Cadangan supaya PAS mewujudkan unit rondaan cegah jenayah mampu dilaksanakan. Apatah lagi dengan kekuatan ahli PAS yang berjumlah satu juta ahli - belum termasuk penyokong PAS dan juga penyokong parti lain dalam pakatan rakyat, PAS mampu tampil ke hadapan dalam menjuarai isu ini dalam membantu menjaga kestabilan dan keamanan Malaysia.

Saya berpendapat, PAS dengan setiap markas dan unit peti undi (UPU) mereka di cawangan-cawangan, masjid-masjid, pondok, sekolah agama di mana-mana sahaja di Malaysia malah kehadiran meraka di seluruh negara menerusi sistem tersusun organisasi parti mampu membawa gerakan Islam PAS kehadapan dalam isu kenegaraan.

Ini merupakan serampang dua mata yang bukan hanya membantu polis mencegah jenayah dan mengembalikan keamanan pada negara malah melatih ahli / anggota PAS untuk bersedia berkorban jika suatu hari negara kita diserang anasir luar, malah menaikkan imej jemaah Islam sebagai menterjemahkan konsep negara berkebajikan, menunjukkan Islam itu syumul dan praktikal, bukan sekadar mengajar di kelas dan masjid-masjid malah turut terjun untuk bersama-sama masyarakat, dekat di hati, mewujudkan jaringan sosial dan membantu PAS untuk lebih 'berjaya' dalam plihan raya akan datang.

Rakyat di Venuezela sudah menggerakkan pasukan rondaan jenayah mereka sendiri secara berkumpulan dengan menaiki motosikal dan mengadakan kawalan keselamatan di tempat - tempat kadar jenayah yang sangat tinggi.

Ikhwanul Muslimin teguh dengan jaringan sivil mereka dengan membina sekolah, hospital, kempen kebajikan dan kemasyarakat, maka dengan itu kita lihat hari ini penyokong Ikhwanul Muslimin terus bertahan walau hampir sebulan selepas kudeta oleh As Sisi.

PAS juga saya yakin dengan jaringan Unit AMAL dan lain-lain Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawahnya dan kerja - kerja kebajikan seperti menyantuni penghuni di Lorong Haji Taib, majlis iftar dan pemberian Harakah percuma mampu menterjemahkan konsep Islam yang syumul, kamil dan mutakkamil melalui penubuhan unit cegah jenayah dan unit rondaan ini.

Sesebuah parti politik itu mampu melakukannya kerana mereka punya ahli dan penyokong yang ramai, apatah lagi PAS sebagai sebuah harakah Islamiyah, mampu untuk menterjemahkan teori dan laungan negara Islam, negara berkebajikan ke arah yang masyarakat boleh lihat kesannya, ke arah penambahbaikan negara ini dan memikat hati semua msyarakat di negara ini.

Jenayah melibatkan semua, tidak kira mereka yang liberal, atheis, sekular, tradisionalis, konservatif, Islamis, kristian, buddha, hindu, pagan, Melayu, Cina, India, kakitangan kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, rakyat marhaen, lelaki, wanita, kanak-kanak, remaja.

Maka di sini Islam mampu memikat mereka apabila gerakan Islam yang menonjol dengan aktifnya di medan masyarakat, bukan sekadar retorik berteriak laungan bercakaran di parlimen dan ceramah politik yang tidak berkesudahan.

Era baru, politik cara baru.

Tiada ulasan: