| Subky Latif, |
Selepas Chin Peng mati atmosfera negara kira penuh dengan jerebu abu Chin Peng. Maka Chin Peng pada saya boleh dinamai baru Abu Chin Peng. Anaknya pula boleh dikenali Ah Boo bin Abu Chin Peng.
Abu Chin Peng berjuang dalam komunis bagi menegakkan pemerintahan komunis. Kerajaan penjajah Inggeris mengharamkan partinya, maka partinya pun mengangkat senjata menentang kerajaan penjajah.
Sebagaimana komunis Rusia mengangkat senjata menentang kerajaan Tzar Rusia dan komunis China mengangkat senjata menentang kerajaan Cheng Kai Shek, komunis Malaya pun mengangkat senjata menentang kerajaan penjajah.
Maka kerajaan Inggeris menggelar anasir komunis Malaya itu pengganas. Di England pun ramai komunis tetapi mereka tidak dipanggil pengganas. Juga di Perancis tidak dipanggil pengganas.
Apabila Malaya merdeka, kerajaan merdeka pula menyambung gelaran pengganas itu kerana komunis tidak meletakkan senjata kerana kerajaan merdeka menyambung dasar Inggeris tidak menghalalkan parti komunis.
Selama-lamanyalah Abu Chin Peng menjadi pengganas. Baik semasa komunis kencang mahu sesudah komunis hancur, Abu Chin Peng tetap menjadi pengganas. Siapa saja yang jadi komunis adalah pengganas, baik yang mengangkat senjata mahupun yang tidak mengangkat senjata, sekadar menyokong saja terus diburu.
Orang yang digelar subersif komunis pun dikira pengganas dan ada akta boleh menangkap dan mengurung tanpa bicara terhadapnya. Orang yang disyaki membantu komunis seperti Tan Sri Abdullah Kok Lanas dan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Dr Mahathir, Siddiq Ghaus dikenakan ISA. Logiknya mereka juga pengganas.
Biasanya yang dianggap pengganas oleh mana-mana kerajaan menghendaki mereka dan memburu mereka hingga ke lubang cacing.
Seperti Amerika, rata-rata orang Islam yang tidak menyokong mereka dicurigai berpotensi mgenjadi pengganas. Dr Mahathir juah lebih pintar dari setengah Setiausaha Agung PBB, tetapi dia orang Islam walaupun sekular, tiada mungkin dijadikan Setiausaha Agung PBB, kerana Islam sekular pun boleh jadi pengganas juga. Apa lagi yang menentang mereka sahlah pengganasnya. Sekalian yang hendak mendaulatkan Islam adalah pengganas yang mesti ditentang dan dihancurkan.
Bagi Amerika, sekalian yang dikiranya pengganas mesti diburu walaupun mereka bukan warga Amerika. Mana pimpinan Taliban yang boleh ditangkap, dibawa ke teluk Cuba yang dikuasai Amerika. Usama Ben Laden tidak dapat ditangkap dan tidak dapat dikesan. Mereka cari hingga ke lurang cacing. Mereka tidak biarkan dia bebas atau menyorok di mana-mana.
Sekalipun Afghanistan sudah Amerika bebaskan dari Taliban dan al-Qaeda, tetapi Ben Laden terus dicari sebab dia dikira pengganas. Setelah dihendak di merata-rata, akhirnya dibunuhnya juga.
Stalin mengira musuh ketatnya Leon Trotsky pengganas yang mengancam kuasanya. Trotsky lari menyorok di Mexico, diburunya ke situ dan dibunuh.
Tiada dalam dunia membiarkan orang yang dianggap pengganas lepas bebas. Hanya Malaysia ada pengganas yang tidak dikehendaki. Semua pengganas selain Abu Chin Peng dikehendaki tetapi Abu Chin Peng saja pengganas yang tidak dikehendaki hidup atau mati. Setelah jadi debu dan abu, Abu Chin Peng tidak dikehendaki.
Terselamatlah Abu Chin Peng dari buruan dan dari pembunuhan. Mungkin seorang saja di dunia jadi sepertinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan