Gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) boleh hilang sokongan kuat mereka di Sabah dan Sarawak dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Katolik Herald berbahasa Melayu.
Rakyat Sabah dan Sarawak yang merupakan majoriti daripada 2.8 juta penganut Kristian di Malaysia, memberikan sokongan kuat kepada BN walaupun gabungan itu kehilangan sokongan besar di Semenanjung Malaysia dalam dua pilihan raya umum lepas.
Mereka terkejut dengan dengan tafsiran penghakiman yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan Kristian dalam bahasa Melayu atau dialek setempat. Selain itu, penganut agama Sikh turut menyatakan kebimbangan berhubung keputusan mahkamah itu.
Kebimbangan ini disuarakan oleh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan peguam berhubung keputusan mahkamah semalam, hampir empat tahun selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan kalimah Arab itu digunakan dalam penerbitan mingguan itu.
Ahli-ahli politik BN dari Sabah dan Sarawak mengakui mereka kini mempunyai banyak kerja untuk mengurangkan “kerosakan” akibat penghakiman semalam.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu Tan Sri Bernard Dompak mengatakan keputusan mahkamah semalam menjejaskan semangat penubuhan Malaysia 50 tahun lalu.
“Saya benar-benar kecewa, terutamanya bagi pribumi Sabah dan Sarawak yang sudah menggunakan terma itu di gereja mereka sebelum Malaysia ditubuhkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Katanya kebebasan beragama merupakan salah satu syarat apabila Sabah bersetuju untuk bersama-sama Malaya, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
“Saya tidak menjangkakan kalimah itu akan diharamkan selepas 50 tahun dan ini sangat menyedihkan,” katanya.
Dompok yang merupakan menteri Kabinet sebelum pilihan raya ke-13 dan lantang menyuarakan isu ini semasa masih dalam kerajaan mengatakan keputusan itu akan menjejaskan sokongan BN dikalangan penganut Kristian.
“Ia berlaku semasa pilihan raya lepas dan akan terus mengurangkan sokongan kita,” kata Dompok yang tewas di kerusi Parlimen Penampang kepada calon PKR dalam pilihan raya 5 Mei lalu.
Beliau berada dalam Kabinet pada April 2011 apabila kerajaan membenarkan negeri-negeri Borneo untuk mengimport Al-Kitab dari Indonesia yang mempunyai perkataan Allah.
“Saya ingat isu ini sudah selesai akan tetapi kita mundur ke belakang,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala enggan memberikan komen sehingga beliau membaca keputusan penghakiman.
Katanya, keputusan penghakiman perlu diperiksa dan melihat implikasinya serta kaitannya dengan penyelesaian 10 perkara yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet sebelum ini.
Idris merupakan orang di belakang penyelesaian 10 perkara – membenarkan injil dalam bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah diimport dan dicetak untuk penggunaan tempatan. Ini berlaku sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011.
Penganalisis politik Dr Jayum A Jawan dari Universiti Putra Malaysia mengatakan isu Allah akan terus digunakan oleh ahli-ahli politik di semenanjung.
“Kita melihat itu dalam pilihan raya umum baru-baru ini dan status quo akan kekal,” katanya dan menambah walaupun keputusan mahkamah tidak menjejaskan Sabah dan Srawak secara langsung, ia mungkin memberikan kesan di kalangan pengundi di semenanjung.
Penganalisis politik Dr James Chin turut bersetuju mengatakan isu ini akan berlarutan semata-mata ianya sudah dipolitikkan.
“Kita memerlukan penyelesaian politik dan pada ketika ini ia tidak boleh disebabkan satu agama di negara ini terikat dengan identiti etnik dan dominasi satu kaum terhadap kaum lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Katanya penganut Kristian di Sabah dan Sarawak akan merasakan keputusan itu menjejaskan hak mereka terutamanya berhubung kait dengan terma dan syarat apabila Malaysia ditubuhkan.
Menurut Chin, tiada ahli politik yang cukup kuat untuk menguruskan isu ini pada ketika ini.
“Ia akan menjadi lebih buruk dan mulai sekarang, ia akan menjadi isu utama yang akan memisahkan lagi populasi,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold Puyok mengatakan keputusan mahkamah semalam hanya akan memanjangkan isu itu.
“Penggunaan kalimah itu akan terus menjadi rebutan dalam hubungan antara kaum di Malaysia. Persoalan akan timbul seperti adakah pengharaman itu hanya kepada Herald dan Katolik di semenanjung.
“Bagaimana dengan penggunaan kalimah itu oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak? Kerajaan tidak boleh mempunyai polisi berbeza berhubung penggunaan kalimah itu,” katanya.
Puyok mengatakan Kabinet atau mungkin juga Parlimen perlu berbincang tentang isu ini dan membuat keputusan yang inklusif.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk mengatakan keputusan mahkamah semalam akan menjejaskan sokongan kepada BN, katanya.
“Sudah tentu BN tidak boleh bergantung kepada politik pembangunan untuk mendapatkan sokongan komuniti Kristian.
“Kebanyakan daripada mereka sedar tentang hak politik dan tidak takut untuk memberikan pandangan kritikal dalam isu berkait dengan kebebasan beragama,” katanya dan menambah, BN akan dihentam teruk dalam pilihan raya akan datang. – 15 Oktober, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan