VIDEO / 2:19 MINIT

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata masalah yang timbul dalam perjalanan mesyuarat dan pemilihan peringkat pemimpin sayap parti itu minggu lalu memadai dengan siasatan oleh jawatankuasa pemilihan Umno dan tidak perlu dibawa ke penilitian Jabatan Perndaftar Pertubuhan (ROS).

Kes berkenaan, yang disifatkannya sebagai “terpencil”, perlu disiasat secara terperinci oleh jawatankuasa pemilihan tersebut, katanya kepada pemberita hari ini.

"Kalau ada kelemahan haruslah disiasat satu persatu. Setakat ini saya rasa tidaklah sampai ke peringkat harus dipertikaikan oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan).

"Tapi tak apa, kita tengoklah siasatan yang dibuat. Tapi bagi kita ini bukan kes yang banyak, mungkin terpencil sahaja," katanya.

Beliau mengulas gesaan DAP agar ROS menggesa parti itu mengadakan pemilihan semula berikutan beberapa kes yang timbul sewaktu pemilihan sayap parti itu hujung minggu lalu.

Penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP Teo Nie Ching dalam satu laporan The Malay Mail Online antara lainnya membangkitkan mengenai aduan melibatkan bahawa jumlah kertas undi didakwa melebihi jumlah perwakilan yang mendaftar semasa pemilihan Pemuda Umno di bahagian Petaling Jaya Selatan, dan Wanita Umno di bahagian Merbok.

Teo dalam laporan tersebut pada Selasa lalu turut membangkitkan mengenai aduan melibatkan keanggotaan individu di enam cawangan Pemuda yang didakwa layak mengundi walaupun telah dilucutkan kelayakan di Seremban.

Turut menjadi tumpuannya ialah aduan melibatkan pemilihan untuk pemilihan Wanita Umno di bahagian Baling dan Puteri Umno di bahagian Sabak Bernam ditangguhkan kerana dakwaan kehilangan kertas undi.

DAP menggesa ROS berbuat demikian sebagai bukti agensi itu tidak bersikap pilih kasih atau bersifat politik apabila mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula sebelum ini.