HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Oktober 2013

Makna penting PRK Dun Sungai Limau

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com,  


 


Pilihan raya Kecil Sungai Limau 23 Oktober ini tentunya menjadi tumpuan pendukung PAS dan Umno/BN kerana ia mempunyai makna penting selepas kerajaan PAS Kedah tewas dalam PRU yang lalu, walaupun dapat mengekalkan kemenangan di Dun tersebut.

Sekiranya PAS beroleh kemenangan dalam PRK kali ini, maka kemenangan itu kiranya menjadi ubat hati yang luka kerana kekalahan dulu itu. Selain itu menunjukkan pulihnya perpaduan di kalangan ahli PAS Kedah selepas perpecahan teruk menjelang PRU yang lalu.

Saya kira, PAS Kedah sudah cukup menderita dengan kekalahan tersebut dan belajar darinya untuk memulihkan kembali perpaduan sesama ahli. Maka itu, PRK Sungai Limau ini menjadi sebaik-baik tempat untuk menunjukkan perpaduan kembali dan seterusnya membina kembali kemenangan.

Boleh jadi ada hikmahnya apa yang terjadi di Kedah di masa lalu itu sebagai suatu pengajaran sangat berguna di masa depan bahawa perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin sangat penting kerana kepentingan parti menjadi keutamaan lebih daripada pelbagai kepentingan lain.

Kini PAS seluruh negara, khabarnya, sedang bersiap-siap untuk datang membantu kempen PAS di Sungai Limau. PAS Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan negeri lain sudahpun menghantar sejumlah ahlinya untuk membuat tinjauan awal di samping membuat persiapan, menunggu kedatangan puluhan ribu atau boleh jadi ratusan ribu lagi.

PAS Pulau Pinang telah mengarahkan semua jentera pilihan rayanya turun membantu jentera PAS di Sungai Limau. Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man menegaskan, semua jentera Pemuda ataupun Muslimat perlu digerakkan membantu untuk memastikan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Sementara itu, PKR Kedah juga sedang mengatur persiapan membantu kempen pilihan raya kecil itu. Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR dibuka 17 Oktober ini, kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PKR bagi Ir Zamri Yusoff.

Menurutnya, BGU akan dibuka di Pekan Sungai Limau. Pelancaran dibuat serentak dengan jentera Pilihan Raya Kecil Pakatan Rakyat,” kata Zamri kepada Keadilan Daily. Menurutnya, PKR akan menyusun program bersama PAS dan Pakatan Rakyat Kedah dengan menumpukan kepada beberapa kawasan Unit Pusat Undi (UPU).

Dari 19 UPU di seluruh DUN Sungai Limau, katanya, Pakatan tewas di tujuh UPU pada Pilihan Raya Umum ke-13 itu. Antaranya UPU Sungai Kering, UPU Dulang Kecil dan UPU Dulang Besar. PKR, kata Zamri dania akan membantu menggempur tujuh UPU yang dikenalpasti sebagai kubu BN.

Beberapa progam sedang diatur dan tumpuan di kawasan itu, kata Zamri yang mengalu-alukan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PRK Sungai Limau ini dijangka begitu sengit, justru Umno akan berhempas pulas untuk menawan DUN tersebut, selepas mendapat suntikan semangat atas kemenangannya merampas Kedah dalam PRU lalu.

Maka itu, PAS Kedah jangan merasa terlalu yakin akan menang mudah hanya semata-mata berasaskan ia Dun tradisi PAS. Keadaan boleh saja berubah, sebab itu kita yakin jentera PAS Kedah di bawah pengarahnya, Datuk Mahfuz Omar dengan segala kebijaksanaannya akan dapat mempertahankan Dun tersebut.

Datuk Mahfuz adalah tokoh yang sangat memahami situasi politik Kedah kerana beliau tumbuh dan berkembang sebagai tokoh politik sejak zaman awal Almarhum Ustaz Fadzil Noor lagi dan kini beliau mengetuai kepimpinan PAS Kedah sebagai Pesuruhjayanya selepas kematian Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak.

Satu hal yang menjadi tradiri kempen Umno/BN dalam semua pilihan raya – sejak zaman berzaman - ialah taburan wang dan pelbagai bentuk habuan kepada pengundi. Sebahagian besarnya berkesan, terutama di kawasan pedalaman, kampung nelayan, penoreh getah dan sebagainya. Maknanya, semakin miskin kedudukan pengundi itu, maka semakin mudah Umno/BN mempengaruhi mereka dengan pelbagai habuan, janji dan segalanya.

Pengundi Sungai Limau dengan tiba-tiba akan menjadi ‘anak emas’ Umno/BN, yang akan diberiakan apa saja – yang diminta atau tidak diminta. Ini adalah biasa dan PAS Kedah sangat faham akan keadaan ini.

Dalam PRU yang lalu, calon PAS, Tan Sri Azizan Ab Razak mendapat 13,294, sementara calon BN 10,520, dua calon bebas pula mendapat 100 dan 84.Pecahan 27,287 Pecahan Kaum ialah: Melayu 93%, Cina 7%, lain-alin 0%.

Ini menunjukkan Dun Sungai Limau ialah sebuah kawasan luar bandar Melayu yang biasa, walaupun tidak jauh dari Alor Setar. Kerana itu, isu-isu nasional seperti isu Laporan Audit Negara, isu skandel projek lembu, isu saham Felda Global Venture, isu keteresan wang negara, hak asasi rakyat, demokrasi dan keadilan ddijangka tidak releven di Dun luar bandar seperti ini, demikian menurut sebuah kajian awal.

Sementara itu, dalam beberapa hari ini, mungkin ratusan ribu penyokong PAS dan Umno/BN sendiri akan membanjiri Sungai Limau menjelang PRK itu. Tetapi dalam pengalaman masa lalu, Umno/BN tidak banyak mengadakan ceramah umum besar-besaran seperti PAS, tetapi jentera pilihan raya mereka masuk ke kampung jauh lebih awal dan begitu kerap. Mereka bertemu lansung dengan pengundi dan di sanalah pelbagai ‘habuan’ dihulurkan kepada mereka.

PAS/Pakatan biasanya akan mengadakan ceramah perdana begitu kerap, mengundang para tokoh Pakatan, terutama yang ada nilai sebagai ‘crowd-puller’ untuk menarik orang ramai. Mungkin ia bermanfaat dan boleh menarik sebahagian pengundi. Tetapi mestilah difikirkan secara rialistik bahawa kempen pergi terus kepada pengundi adalah langkah paling wajar, walaupun ceramah perdana itu tidak dinafikan sebanyak sedikit ada manfaatnya.

Kita yakin, jentera PAS/Pakatan Rakyat, khususnya PAS Kedah, yang sangat kenal dengan demografi pengundi Dun Sungai Limau ini akan mampu membaca dan mengatur strategi yang tepat untuk mempertahankan Dun tersebut.

Insya Allah, jika PAS menang PRK kali ini, maka ia adalah isyarat awal bahawa PAS Kedah pulih semua dan akan memberi semangat kepada Muktamar PAS dari 22 hingga 24 November ini.

Tiada ulasan: