Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) hari ini berkata sudah tiba masanya orang asal di negara ini untuk keluar daripada kebiasaan norma mereka yang menolak pemodenan.
Menurut Presiden PAS itu sememangnya tidak ada siapa yang boleh menafikan hak orang asal terutama berkaitan tanah rizab namun itu tidak bererti untuk mereka berada di tahap yang sama.
"Orang asal sampai bila nak merayau? Mereka patut berubah jangan selama-lamanya berada pada tahap itu .
"Daripada terus mengharapkan kawasan rayau untuk mereka disediakan, mereka harus keluar daripada kebiasaan,"katanya dalam ucapan penutupan perasmian Konvesyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan 2013, di Shah Alam.
Tegas Presiden PAS itu, bagaimanapun untuk melakukan perubahan tersebut tidak hanya terletak kepada orang asal sahaja kerana kerajaan juga perlu memegang tanggungjawab tersebut.
Jelas beliau kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan Orang Asli membantu kaum tersebut untuk maju seiring dengan kaum lain di negara ini.
"Contoh orang asal Penan di Sarawak mereka kini bangkit menentang kerajaan kerana biarpun sudah mencapai kemerdekaan namun pemerintah tidak mampu menyediakan kawasan rayau.
"Kerana itu kita insyallah terdapat perubahan yang berlaku pada masa terdekat ini, kita jamin rakyat akan dapat pembelaan dengan seadil-adilnya," katanya.
Presiden PAS itu mengulas mengenai dakwaan wakil anggota jawatan kuasa Majlis Peguam yang menyatakan Kelantan telah meminggirkan hak dan peranan orang asal di negara itu.
Menurut wakil tersebut kumpulan Orang Asli Temua di Gua Musang bakal mengadakan sidang akhbar dalam masa dua hari ini untuk menyatakan ketidak puasaan hati mereka terhadap kerajaan Kelantan.
Menjawab mengenai tuduhan tersebut AhliJawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menafikan kerajaan negeri meminggirkan Orang Asli.
"Saya sendiri beri jaminan kerana tidak mungkin kerajaan negeri tidak mempedulikan hak orang asal kerana kita sentiasa menjadi barisan paling depan bila menyentuh isu ketidak adilan.
"Biarpun ada tuduhan sebegitu saya pasti ini merupakan isu yang terpencil kerana hal Orang Asli bukan merupakan isu sampingan negeri, ia menjadi keutamaan kita,"katanya.
Bagaimanapun, beliau akan membawa hal itu pada majlis tertinggi kerajaan untuk diperdengarkan agar permasalahan itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Kerusi Parlimen Gua Musang Kelantan dipegang veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang juga merupakan Pengerusi BN Gua Musang.
Dalam pemilihan Umno semalam berjaya mengekalkan jawatan Ketua Umno bahagian yang disandangnya sejak lebih lima dekad.
Kebanyakan kawasan orang asal terletak dalam kawasan Gua Musang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan