HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Oktober 2013

PAS:Jangan Biarkan Serigala Memakai Serban




Oleh ramziredang


"Mahathir sering menyindir dan mengeluh, hanya tinggal orang orang bodoh sahaja di dalam UMNO kerana semua doktor, enjineer dan para profesional beralih kepada PAS. Kata kata Mahathir ini disahkan lagi dengan kemenangan Shahrizat mempertahankan Ketua wanita UMNO. Namun sebaliknya pula yang berlaku di dalam PAS, para ulama ingin mengundur ke belakang dan mula berfikir terbalik. Mereka merasa kehadiran para profesional di dalam PAS mengancam kedudukan mereka.

Bertitik tolak dari pemikiran ulama yang merasa terancam inilah maka keluar keputusan 'pemimpin dalam PAS biarlah dari kalangan ulama'. Kononnya, yang teratas kenalah fakih, tahu tentang hukum hakam dan alim dalam bidang agama. 

Sepintas lalu bunyinya macam betul, tetapi sejarah di dalam PAS membuktikan ianya salah. Sejarah di dalam PAS sendiri membuktikan, pemimpin yang berkelulusan agama, fakih atau alim, tidak semestinya membawa kebaikan kepada PAS semata, contohnya Nakhaie Ahmad atau yang paling lewat, bekas timbalan presiden PAS sendiri, Nasharudin M Isa. 

Nasharudin Mat Isa sendiri adalah contoh terbaik, 'dari golongan ulama' tetapi lebih memilih menikam prinsip perjuangan. Beliau juga contoh terbaik golongan ulama yang tidak wala' keputusan pimpinan. 

Berbagai amaran telah diberi kepada beliau oleh pucuk pimpinan tetapi dengan ke'fakih'an beliau, beliau memilih untuk ingkar.Maka dimanakah relevannya, kepimpinan teratas perlulah dari golongan ulama? 

Malah jika kita pergi kepada lebih awal tahun tahun perjuangan PAS, Dr Burhanuddin Al helmy adalah watak penting dalam memperkasakan peranan PAS dalam arus politik tanah air. Walaupun Dr burhanuddin mendapat pendidikan awal dari sekolah agama, namun pendidikan tingginya dalam bidang sastera dan falsafah di universiti Alighrah, India. Beliau digambarkan sebagai 'nasionalis radikal dan pemikir islam'. 

Dengan semangat beliau yang cintakan Islam maka PAS berjaya mengukir nama dalam sejarah politik Islam. 

Agak menghairankan kenapa timbul cadangan perlunya pemimpin tertinggi di dalam PAS perlu ulama. Kenapa ianya dimuncul pada dekad ini? Apa sebenarnya berlegar di dalam fikiran para ulama PAS hingga boleh keluar cadangan seperti ini. 

Resolusi ke tujuh Multaqa Ulama Semalaysia:

7- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.
 
Adakah telah timbul banyak kesan keburukan di dalam PAS bila para profesional muncul sebagai pemimpin di dalam PAS? Adakah mereka ini benar benar merosakkan hala tuju PAS?  Adakah dengan kejahilan mereka atau dengan kata lain,adakah dengan tidak fakihnya mereka di dalam hukum, mereka telah perbuat sesuatu yang jelas melanggar hukum?

Jika kita perhatikan nama nama teratas dari kalangan profesional di dalam PAS, Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, apakah mereka ini telah membawa kerugian kepada PAS? Padahal jika kita perhatikan peranan yang pernah dimainkan oleh mereka di dalam dewan, merekalah yang sentiasa buat kerajaan UMNO kucar kacir dengan hujah dan fakta yang dibawa oleh mereka. 

Siapa pula dari kalangan ulama yang muncul namanya menggerunkan politik lawan? Yang apabila dibawanya sesuatu isu akan membuat pihak lawan huru hara? Saya tidak menafikan kesemuanya. Tetapi dari segi politik kekadang munculnya ucapan ucapan dari kalangan ulama ini adalah sumber kekuatan pihak media lawan dapat memutar belit kata kata mereka. 

Ketua pemuda PAS sekarang adalah dari kalangan ulama. Apakah namanya menggerunkan pihak lawan? Malah amat menyedihkan, kefakihan beliau tidak dapat menawan hati para ahli PAS sendiri dalam pemilihan jawatan naib yang dipertua indera mahkota. 

Mungkin para ulama di dalam multaqa tidak dapat muncul dengan cara 'semulajadi' maka ia perlu di'syarat'kan. Padahal kita semua telah tahu jika seseorang masuk di dalam pentas politik, jika karaktornya baik dan berjaya muncul sebagai pemimpin yang berwibawa maka dengan sendirinya dia akan disukai oleh para ahli atau diangkat lebih tinggi tidak kira samada dia dari kalangan ulama atau profesional.

Resolusi ini sebenarnya dengan sendiri telah mengesahkan bahawa golongan ulama sendiri telah mula tenggelam peranan mereka. Mereka sendiri yang tidak berjaya muncul gah. Mereka sendiri yang gagal menyerlahkan sinar mereka. Mereka gagal menyerlahkan taring mereka di dalam pentas politik kotemporari.Lalu mereka cuba menyelamatkan diri mereka dengan meletakkan syarat 'perlu dari kalangan ulama'

Percayalah rakyat dan ahli PAS tidak bodoh. Ahli masih belum lalai..kerana itulah ahli PAS masih sayang kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai Presiden. Kerana TGHA masih menggerunkan musuh. Sekian banyak tohmahan dan rancangan jahat dari pihak musuh cuba untuk menjatuhkan tuan guru presiden, tetapi beliau masih berdiri gagah dengan aura tersendiri. 

Beliau(TGHA) meniti persada politik dari muncul sebagai seorang ketua pemuda yang menggerunkan lawan. Beliau muncul dengan sendiri, kerana pada masa itu tidak adapun resolusi 'kepimpinan tertinggi perlulah dari kalangan ulama'. Tetapi beliau muncul kerana aura yang menggerunkan yang ada di dalam diri beliau.

Sebenarnya pada dekad ini, PAS sendiripun telah memasuki era baru, menempa nama di kalangan bukan Islam. Di mata orang bukan Islam PAS sangat dipercayai. Lebih berintergriti. Terbuka. Bukan Islam sendiri lebih senang dan terbuka memakai baju PAS dan menampal poster PAS.Jelaslah di sini betapa berkesan dan besarnya peranan TGHA membawa PAS ke era baru hingga PAS telah memasuki 'versi baru'. 

Tetapi mungkin dalam era era pencapaian PAS seperti ini, nama 'ulama' kurang muncul atau tenggelam. Lalu muncullah resolusi tersebut. Bagaikan pepatah orang tua, tidak pandai menari salahkan lantai tidak rata.

Oleh itu saya tetap merasa aneh, bila sekarang muncul resolusi dari kalangan ulama sendiri mencadangkan supaya pemimpin tertinggi dan naib presiden hendaklah dari kalangan ulama.
 
Bagi kami ahli bawahan, siapa sahaja memainkan peranan..samada profesional,ulama atau malah penjual ikan, kita tetap berperanan memartabatkan PAS dan Islam di bumi malaysia. Tidak perlu mensyaratkan 'perlu dari kalangan ulama'
 
Ianya tidak salah, cuma ada sedikit tanda tanya, apakah ada 'serigala sedang memakai serban?'

Tiada ulasan: