Ketika sesi bacaan kali kedua dilaksanakan di Parlimen, Putrajaya hari ini berkata, mereka masih terbuka untuk membincangkan penambahbaikan terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).
Menteri Dalam Negeri itu berkata, pihaknya masih terbuka bagi sebarang pindaan berkenaan akta itu di peringkat jawatankuasa Parlimen, seperti yang dituntut ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Rakyat (PR).
"Walaupun ada beberapa klausa yang diminta pembangkang, NGO dan Majlis Peguam, ia akan diteliti. Kami sebenarnya bersikap terbuka dalam meneliti beberapa perkara yang munasabah untuk dilakukan pindaan di peringkat jawatankuasa.
"Jangan kata kerajaan dan sedia berbincang. Kami akan bincang di peringkat jawatankuasa. Ada berapa cadangan," kata ahli Parlimen Bagan Datoh itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Sebelum bacaan kali kedua pindaan akta berkenaan yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara, wakil ahli Parlimen PR bangun membantah ia diteruskan atas alasan kekangan masa untuk membahaskan 11 rang undang-undang sedangkan tempoh Parlimen bersidang hanya tinggal tiga hari.
Bacaan kali kedua akta berkenaan bagaimanapun dijalankan sejurus sebelum sidang Dewan berhenti rehat tengahari tadi.
"Perbahasan akan dibuat selepas bacaan pindaan, saya fikir rang undang-undang pindaan ini amat penting walaupun beberapa pihak berasa ia perlu ditangguhkan.
"Memandangkan keperluan terhadap pelaksaan mereka yang ditahan tidak dapat dibawa ke mahkamah disebabkan belum ada pindaan, maka pindaan ini mesti diluluskan," kata Ahmad Zahid.
"Ya, ia sedia ditambah baik," tambah Naib Presiden Umno itu lagi.
Pindaan memasukkan peruntukan penahanan tanpa bicara dan kuasa akta yang turut meliputi Sabah dan Sarawak mendapat bantahan beberapa NGO terhadap pindaan PCA.
Minggu lalu Kementerian Dalam Negeri telah membuat bacaan kali pertama terhadap akta berkenaan, bersama 10 akta lain.
Kumpulan aktivis hak asasi manusia juga turut membantah dengan mengadakan demonstrasi di perkarangan Parlimen semalam dan menyerahkan memorandum bantahan kepada kementerian.
Kumpulan berkenaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Rakyat Tolak ISA 2.0 menganggap pindaan terhadap PCA adalah seumpama mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika sambutan Hari Malaysia pada 2011.
Mereka turut berkata Najib ketika berucap telah memberi jaminan tidak akan memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai usaha mereformasikan sistem perundangan negara.
Serentak dengan pemansuhan itu termasuklah Ordinan Darurat (EO).
Aktivis itu juga yang kembali sekali lagi pada hari ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Ahmad Zahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan