HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Oktober 2013

Pelarasan cukai harus seiring pelarasan subsidi

http://yasirtamizi.blogspot.com/,



Sama ada kita masih mahu hidup dalam penafian ataupun tidak, dalam realiti pengurusan kewangan Malaysia hari ini, pelarasan subsidi tidak dapat tidak, akan terus berjalan untuk jangka masa 4 atau 5 tahun lagi.
Rasionalisasi subsidi ataupun pelarasan subsidi ini, dijangka dapat mengurangkan perbelanjaan Negara dan meyakinkan pelabur dalam tekad Kerajaan memperbaiki angka defisit dan hutang. Merujuk Bajet 2013, Kerajaan telah memperuntukkan RM37 bilion untuk subsidi.
Jika pelarasan subsidi ini berjalan dengan baik, Kerajaan akan dapat mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM37 bilion, lantas hasil lebihan pendapatan ini dapat disalurkan kepada projek-projek pembangunan negara dan kebajikan rakyat.
Namun, dengan pelarasan subsidi sebegini, semestinya ini bukan dasar populis kerana rakyat akan menanggung beban daripada kos sara hidup yang meningkat, dengan kenaikan harga bahan api, gula, tepung dan barangan harian, ditambah pula dengan tanggungjawab cukai yang perlu dibayar secara langsung mahupun tidak langsung.
Cukai yang ditanggung rakyat Malaysia ada lima jenis iaitu, cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai import, duti eksais dan cukai pendapatan. Kadar bagi setiap cukai berbeza di mana cukai jualan adalah 10%, cukai perkhidmatan 6%, cukai import untuk kereta contohnya 30%, duit eksais untuk kereta serendah 60% manakala cukai pendapatan setinggi 26%. Merujuk Bajet 2013 yang lalu, jumlah hasil kutipan cukai adalah RM149 bilion.
Dengan lebihan pendapatan yang diperoleh hasil daripada pelarasan subsidi, seharusnya cukai juga diselaraskan supaya keseimbangan ini dapat membantu rakyat Malaysia mendepani bebanan kos sara hidup yang meningkat.
Jika pelarasan subsidi berjaya menambah pendapatan Negara sebanyak RM37 bilion, seharusnya pelarasan cukai juga perlu dilaksanakan agar beban cukai rakyat dikurangkan sebanyak RM37 bilion juga, ini bermakna hasil kutipan cukai haruslah dikurangkan daripada RM149 bilion kepada RM112 bilion.
Soal cukai mana yang harus dikurangkan terlebih dahulu bagi mencapai pengurangan kutipan cukai sebanyak RM37 bilion, kita mencadangkan pengurangan kadar pada cukai import, duti eksais, cukai tak langsung dan sebahagian cukai pendapatan dengan penghapusan Potongan Cukai Berjadual, harus didahulukan agar beban kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan secara langsung dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
Hasil daripada pelarasan cukai ini, jika diterima dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan penghujung Oktober, akan meningkatkan keupayaan berbelanja rakyat sekaligus merancakkan lagi kegiatan ekonomi Negara untuk tahun fiskal 2014.
Malaysia menerimapakai hujah pasaran bebas dalam pelarasan subsidi, mengapa tidak kita menerima pakai hujah pasaran bebas dalam pelarasan cukai? Jika Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan hasil tanaman dan galian yang bernilai ratus bilion ringgit, mempunyai butang reset dalam pengurusan ekonomi di mana cukai boleh dilupuskan seluruhnya, mahukah kita dicukai lagi?

Tiada ulasan: