| Anis Nazri, |
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata kes kematian pelatih itu perlu dibincangkan secara serius kerana ia membimbangkan rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke PLKN.
Malah, tambah beliau, selain kematian dalam latihan PLKN, terdapat juga dakwaan berkaitan kes rogol yang berlaku di kem tersebut.
"Saya melihat ia sebagai satu isu yang perlu dibincangkan di parlimen. Tapi sayangnya dengan apa yang berlaku kontrak pengarah PLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik masih disambung semula, sedangkan dia sepatutnya bertanggungjawab dengan keadaan itu," tegas beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
Hanipa memaklumkan, baru-baru ini terdapat kematian seorang pelatih PLKN, di Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, dijumpai dalam keadaan terbaring di bilik air sebelum disahkan meninggal dunia.
Laporan awal bedah siasat mendapati punca kematian Suhaimi disebabkan pendarahan dalam kepala akibat hentakan objek tumpul selepas disyaki terlibat dalam satu pergaduhan.
Sebelum itu, beliau mengemukakan usul bagi membincangkan isu tersebut di bawah Peraturan mesyuarat 18 (1) dan (2), bagaimanapun ditolak di dalam kamar kerana dikatakan isu itu sedang dalam siasatan pihak polis.
Beliau yang kecewa dengan penolakan usul itu bagaimanapun menuntut agar kerajaan mengambil tanggungjawab untuk mengkaji semula program tersebut bagi memastikan kes kematian sedemikian tidak berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan