HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Oktober 2013

ADUN Pakatan S'gor mahu MB tambah peruntukan

 


 

Tekanan oleh ADUN PKR ke atas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim agar tidak bersikap kedekut membelanjakan rizab simpanan negeri kini disahut oleh para wakil rakyat DAP dan PAS yang menguatkan lagi tuntutan melalui satu memorandum.

Memorandum dari Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) bertarikh 7 Oktober yang diperolehi Malaysiakini itu ditandatangani wakil ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Tuntutan dalam memorandum itu dikemukakan susulan taklimat mengenai Laporan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2014 pada 3 Oktober lalu yang menimbulkan kejutan di kalangan wakil rakyat berkenaan.

Dalam taklimat tersebut, ADUN berkenaan antara lainnya diberitahu bahawa kerajaan negeri akan mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM100 juta.

"BBC sepakat menolak cadangan untuk mengurangkan Belanja Pembangunan sebanyak RM100 juta berikutan kegagalan beberapa agensi kerajaan berbelanja sehingga suku ketiga 2013. Kegagalan agensi kerajaan untuk mencapai matlamat prestasi belanjawan hendaklah diteliti segera.

"Namun kerajaan negeri tidak boleh menjadikan ianya sebagai alasan untuk mengurangkan peruntukan pembangunan kerana tindakan ini hanya akan membebankan rakyat," memorandum itu dipetik.

Dalam memorandum itu juga, BBC menegaskan peruntukan kepada agensi kerajaan wajar diberikan untuk digunakan dengan cekap dan berkesan bagi setiap program pembangunan demi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam belanjawan.

Sehubungan, kelab tersebut menggesa kerajaan negeri supaya Belanja Pembangunan ditambah dari RM600 juta kepada RM800 sebagai langkah menjana ekonomi negeri sekaligus meransang pertumbuhan ekonomi yang lestari dan utuh.

Memorandum itu turut menyenaraikan beberapa bidang untuk kerajaan negeri menambah peruntukan antaranya:
  • RM100 juta untuk perumahan rakyat
  • RM50 juta untuk kerja memantau, menyelenggara dan menstabilkan cerun
  • RM50 juta untuk menaiktaraf dan melengkap kemudahan asrama Unisel
  • RM30 juta untuk biasiswa bagi anak Selangor
  • RM10 juta untuk menaiktaraf kemudahan WiFi
  • Perkhidmatan bas percuma pada waktu puncak
  • Menambah peruntukan tahunan ADUN daripada RM500,000 kepada Rm800,000
  • Peruntukan tambahan bagi kawasan yang besar

Tiada ulasan: