Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa suatu SOP khusus dirangka mengenai tempat tinggal atau asrama pekerja asing bagi membendung penularan Covid-19.
Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata majoriti pekerja asing di negara ini tinggal dalam keadaan bersesak di asrama pekerja, kabin tapak pembinaan, bilik rumah kedai, rumah teres atau pangsapuri yang jarak fizikal dan kebersihan diri sukar dipantau.
"Walaupun ujian ke atas pekerja asing perlu dilakukan, langkah-langkah mesti diambil untuk mengatasi keadaan hidup pekerja asing di negara ini. Tidak ada gunanya menguji mereka jika kemudian mereka kembali ke ruang tempat tinggal mereka yang sesak.
"Sebilangan besar pekerja asing di negara ini tinggal di asrama yang sesak, sempit, kabin tapak pembinaan, bilik lot rumah kedai, rumah teres atau pangsapuri di mana penjarakan fizikal mungkin hampir mustahil untuk diamalkan.
"Suatu SOP khusus untuk penginapan pekerja asing mungkin diperlukan bersama dengan pemeriksaan rawak oleh pihak berkuasa.
"Laporan mutakhir mengenai kluster jangkitan di depoh imigresen menjadi perhatian utama. Cara untuk mengelakkan kesesakan di depoh ini perlu diperhatikan. Masalah kebersihan di pusat-pusat ini juga mesti ditangani," kata beliau dalam suatu kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain itu, penekanan lebih juga perlu diambil untuk mencegah pendedahan kepada risiko jangkitan.
"Seseorang mungkin memperoleh keputusan ujian negatif dan masih terdedah kepada jangkitan selepas menjalani ujian, jika langkah pencegahan seperti jarak fizikal dan kebersihan diri tidak dipantau.
"Dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing (sah, tidak sah, tanpa dokumen), adalah perlu untuk menguji kumpulan ini dengan data berdaftar," katanya lagi.
MMA juga mengulang pendirian supaya pengampunan diberikan kepada pendatang asing tanpa izin dan tanpa dokumen.
Ini katanya, bagi mengelakkan kesukaran untuk mendapatkan pekerja asing ini diuji atau pun majikan mereka enggan memberikan kerjasama.
"Ada yang akan lari daripada pihak berkuasa, manakala ada majikan pula akan menyembunyikan mereka kerana takut tindakan akan diambil terhadap mereka.
"Isu-isu ini perlu ditangani secara berhati-hati supaya dapat diuruskan dengan lebih berkesan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan