HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Mei 2020

Melayu sering jadi modal kutukan Tun M bila berkuasa

Kenapa Dr Mahathir letak jawatan, kemudian minta semula posisi PM?


BANGI – Hentikan mencipta drama palsu semata-mata mengejar kepentingan diri masing-masing, kerana rakyat sudah jelik dan bosan dengan mainan politik yang tidak berkesudahan dari Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, slogan kononnya ‘mandat rakyat’ hanyalah retorik seperti menadah tempurung simpati, namun gagal membela pengundi apabila sudah mendapat kuasa.

Beliau berkata, catatan sejarah menjadi bukti apabila Dr Mahathir memerintah, orang Melayu dijadikan bahan kutukan kononnya mudah lupa, pemalas dan sentiasa mahu ditongkat.

“Betul kata Tun, Melayu bacul kerana tidak boleh menerima DAP. Tetapi tahukah Tun bahawa mereka yang bacul ini semuanya ada di sekeliling Tun, mereka bacul kerana tunduk dan mengikut telunjuk DAP.

“Mereka tidak berani bersuara mempertahankan agama apabila Islam dihina, mereka hilang maruah apabila hak orang Melayu dihakis. Mereka inilah Melayu Barua, senyap sepi apabila institusi Raja-raja Melayu dicabar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan terbaharu di blog bekas Perdana Menteri itu yang menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu dan membela parti rasis, DAP.

Dr Mahathir menyatakan rasa malu apabila ramai Melayu percaya DAP – parti rasis dan cauvinis – akan menghancurkan bangsa berkenaan sekiranya berada dalam kerajaan Malaysia.

Dakwanya, banyak peristiwa menunjukkan orang Melayu tidak mudah dihancurkan, namun menyifatkan bangsa itu boleh hancur kerana membenarkan penyangak menjadi pemimpin.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, orang Melayu bermaruah akan selalu bangkit menentang mereka yang melanggar haknya dalam Perlembagaan.

“Zaman berubah, dan Tun harus sedar bahawa minda rakyat juga turut berubah. Generasi sekarang tidak jumud, kecanggihan teknologi pantas menyalur maklumat terkini amat jauh berbeza dengan zaman Tun muda.

“Tun sekarang sudah terlalu tua, begitu jua Anwar Ibrahim. Eloklah keduanya berehat dengan tenang menunggu hari kematian yang pastinya diingati oleh semua, bergenerasi lamanya,” katanya.

Rashidi turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa beliaulah individu yang awal telah mengkhianati amanah rakyat apabila sengaja melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu.

“Dalam keadaan terdesak ini telah memaksa YDPA memanggil semua Ahli Dewan Rakyat seorang demi seorang bagi mendapatkan pengesahan bakal Perdana Menteri dan berkesudahan bila majoriti setuju memberi mandat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut peruntukan Perkara 3 Perlembagaan.

“Jikalau Tun Mahathir tidak letak jawatan, semua ini tidak akan berlaku. Tetapi kini Tun pula yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap PM lantikan YDPA, tidakkah itu perbuatan menderhaka?

“Mengapa Tun letak jawatan sebelumnya, kemudian minta semula? Bukankah Tun lakukan perkara drastik itu kerana hendak mengelak penyerahan PM kepada Anwar Ibrahim seperti yang telah Tun janjikan?,” katanya.


Tiada ulasan: