HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Mei 2020

Muhyiddin perlu buktikan ada majoriti kuat di Dewan Rakyat

Wartawan MalaysiaGazette
Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga beliau belum lepas undi tidak percaya yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Muhyiddin mesti dalam masa segera membuktikan cukup sokongan ahli Parlimen bagi menunjukkan kerajaannya adalah sebuah kerajaan majoriti walaupun dengan majoriti mudah seramai 112 orang sahaja.

Ini kerana, katanya, sebagai sebuah kerajaan minoriti hanya bersifat sementara keabsahannya (legitimacy).

Oleh itu, Muhyiddin selaku Perdana Menteri kerajaan minoriti mesti melalui satu ujian objektif iaitu menghadapi dengan seberapa segera usul undi tidak percaya yang telah dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana usul tersebut telah diterima oleh Parlimen sebagai satu usul Dewan Rakyat.

Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 berdasarkan peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘’Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;’’

Ukuran standard yang diguna pakai dalam Perkara 43 (2)(a) itu ialah ukuran subjektif bukannya objektif. Perkataan di dalam peruntukan Perlembagaan itu ialah ‘’ pada hematnya mungkin..’’

”Bolehkah Muhyiddin Yassin bersandar keabsahan (legitimacy) kerajaannya hanya kepada alasan bahawa beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a)? Dengan rendah hati, penuh hormat dan beradab jawapan saya ialah: Tidak boleh.

”Mengapa tidak boleh? Jawapan kepada soalan ini adalah penting. Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang mengamalkan dwi-fungsi iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Malaysia tidak mengamalkan Sistem Raja Mutlak (absolute monarchy),” katanya.


Tiada ulasan: