HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Mei 2020

Negeri enggan laksana PKPB bukti kurang yakin pada Putrajaya, kata pemimpin PKR

Sebahagian besar perniagaan menyambung semula operasi
di bawah PKPB yang mula berkuat kuasa semalam.
 
PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri daripada PKR berkata, keengganan beberapa negeri melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membenarkan perniagaan menyambung semula operasi menunjukkan kurangnya keyakinan terhadap kepimpinan Putrajaya dan pengurusan krisis Covid-19.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata kerajaan kelihatan terburu-buru dalam memutuskan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak menangguh atau tidak melaksanakan PKPB, dengan Selangor serta Pulau Pinang memperkenalkan program sendiri untuk pembukaan semula perniagaan.

Lee mendapati beberapa perniagaan memutuskan tidak menyambung semula operasi secara tergesa-gesa.
Dr Lee Boon Chye
Beliau berkata, perniagaan perlu diberikan tempoh seminggu untuk cuba beroperasi dengan jumlah pekerja minimum di premis untuk membantu mereka memahami dan mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan bagi setiap industri.

Katanya, Putrajaya sepatutnya menggunakan minggu-minggu sejak PKP dilaksanakan untuk membuat persiapan lebih baik bagi pembukaan semula sektor ekonomi.

Beliau memberitahu FMT, keingkaran yang ditunjukkan perniagaan dan kerajaan negeri ialah “bukti kurang keyakinan” terhadap Putrajaya.

Semalam, Menteri Kanan, Azmin Ali memberi amaran kepada kerajaan negeri tidak mematuhi dasar persekutuan untuk pembukaan semula ekonomi yang tindakan mereka menyalahi undang-undang kerana dasar itu sudah menjadi undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Katanya, mereka berdepan risiko disaman perniagaan untuk menuntut ganti rugi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai hari ini, tetapi tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard.

Ia selepas 7 minggu penutupan semua aktiviti ekonomi, kecuali perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi.

Beberapa kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan mengumumkan versi PKPB sendiri, dengan ada yang kekal dengan PKP fasa ke-4 sehingga 12 Mei ini.

Tiada ulasan: