
PPH mendakwa kenyataan Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh itu sebagai satu penipuan dan tidak bersandarkan kepada fakta.
Namun, katanya, apabila meletakkan punca dan faktor mereka tidak akan kembali kepada PH kerana mendakwa dikhianati parti komponen itu adalah satu penipuan dan tidak bersandarkan kepada fakta.
“Kronologi peristiwa pengkhianatan sebenar adalah apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM mendesak Dr. Mahathir untuk bersetuju keluar daripada PH dan membentuk kerajaan dengan menerima Pas dan UMNO secara en-bloc.
“Perkara ini telah dinyatakan berulang kali, malah kami juga terkejut dengan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertentangan dengan semangat menentang kleptokrasi yang diperjuangkan bersama.
“Malah, dakwaan mengatakan pimpinan PH mendesak Tun meletakkan jawatan telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH dengan mengambil ketetapan, semua keputusan transisi jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Tun dan ini dilafazkan sendiri oleh Tun dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
PPH diwakili Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim; Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Perak, Chaw Kam Foon; dan Ketua AMK Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Mereka menjawab kenyataan Mohd Hafez Mubin yang mendedahkan, pengkhianat sebenar kepada Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM adalah PH yang didokong oleh PKR, DAP dan Amanah.
Dalam kenyataan itu, Mohd Hafez Mubin berkata, kebanyakan pemimpin dari tiga parti itu, terutama DAP dan PKR tidak henti-henti mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri yang disandang ketika bersama bergabung membentuk kerajaan PH.
Dalam pada itu, PPH turut menjelaskan, keputusan PH mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas kerajaan PH terbubar dibuat selepas Tun Dr. Mahathir tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan dan tiada sebarang maklum balas diberikan bagi membuat keputusan menamakan calon Perdana Menteri kepada istana.
Menurutnya, ketetapan menamakan Tun Dr. Mahathir semula sebagai Perdana Menteri dibuat selepas istana memaklumkan tiada calon mendapat sokongan majoriti yang diperlukan dan selepas itu Dr. Mahathir bersedia untuk berjumpa dengan pimpinan PH bagi mencapai satu keputusan bersama.
“Perlu diingatkan, kegagalan Tun menyertai PH dalam setiap perbincangan yang dibuat berpunca daripada tindakan sebahagian MPT yang diketuai Muhyiddin.
“Beliau (Muhyiddin) bagaimanapun, membuat keputusan keluar dari PH dan automatiknya kedudukan Tun Mahathir sebagai Pengerusi PH turut gugur.
“Persoalannya, siapakah sebenarnya yang mengkhianati Tun sehinggakan pendirian Tun yang tetap mahu bersama PH tidak diendahkan oleh pimpinan PPBM yang bersama Muhyidin?,” soal beliau.
Mengenai isu terdapat perancangan yang dikatakan mahu menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak, PPH menyatakan, DAP berulang kali menafikan perkara tersebut datang daripada parti tersebut.
Sebaliknya, ia adalah perancangan terpencil oleh individu yang tidak mempunyai kekuatan kerana ia tidak didokong oleh wakil rakyat PH Perak.
Sebaliknya, kata PPH, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, satu rakaman video telah tular mendedahkan bagaimana Ahmad Faizal telah secara jelas memburukkan parti rakan dalam PH.
“Malah, dalam perbualan tersebut juga ada disebutkan secara perlahan perancangan PPBM yang dirahsiakan.
“Insiden ini berlaku pada November 2019, tiga bulan lebih awal sebelum ‘Langkah Sheraton’ berlaku. Tindakan itu sebenarnya telah menyebabkan ramai yang marah dan kecewa, namun PH Perak tidak mengambil perkara tersebut sebagai faktor untuk berpecah dan berkonflik dengan Ahmad Faizal,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan