HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Mei 2020

Rohingya yang saya kenali




Tahap interaksi tertentu perlu diwujudkan untuk kita menceritakan hal berkaitan etika dan tingkah laku orang lain. Seperti yang diriwayatkan khalifah Umar al-Khattab, kriteria berikut perlu ada sebelum anda mengesyor atau menolak seseorang:
  1. Berjiran dengan seseorang. Jiran-jiran sepatutnya lebih arif tentang orang yang tinggal di rumah sebelah.
  2. Mempunyai pengalaman mengembara dengan seseorang kerana mengembara dan berada jauh dari kampung halaman mendedahkan peribadi sebenar seseorang.
  3. Mempunyai pengalaman terlibat dalam urusan perniagaan dengan seseorang kerana urusan berkaitan kewangan mendedahkan personaliti sebenar seseorang.
Hari ini kita menyaksikan gelombang ucapan kebencian, tulisan dan gambaran tidak berperikemanusiaan dilontarkan ke arah masyarakat Rohingya Islam.

Mereka melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai di tanah air mereka demi mencari perlindungan di negara kita buat sementara. Mereka ialah individu yang sepatutnya kita layani dengan bermaruah dan penuh belas kasihan.
Bagaimanapun, baru-baru ini, ramai rakyat Malaysia meluahkan perasaan benci di media sosial berasaskan tuduhan tidak benar terhadap keseluruhan etnik itu, walhal ia hanya kesalahan beberapa individu.

Tuduhan tidak wajar ini menghancur dan memusnahkan setiap ahli komuniti itu yang dihina dengan kata-kata tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan. Ini mungkin melenyapkan segala amalan mulia yang telah kita lakukan sesama manusia dan merosakkan imej kita di mata dunia.

Gelombang kebencian ini tidak berhenti di situ, ia kemudiannya melimpah-ruah kepada serangan terhadap etika dan tingkah laku, malah menimbulkan syak wasangka serta keraguan ke atas fakta sejarah sah berhubung etnik Rohingya yang diterima seluruh dunia.

Ada yang melemparkan tuduhan berasaskan komen tular di media sosial tanpa bukti konkrit. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini hanya akan menimbulkan huru-hara dan situasi tidak menyenangkan dalam khalayak ramai.

Menurut bijak pandai: “Jangan menilai watak seseorang berdasarkan kata-kata orang lain.

Sebaliknya, lihat motif di sebalik kata-kata orang yang melemparkan penilaian buruk itu.”

Sebenarnya, melalui pemerhatian sangat ringkas, saya membuat kesimpulan kebanyakan kolumnis, penulis dan netizen tiada interaksi peribadi dengan mana-mana ahli komuniti Rohingya, lebih teruk lagi apabila beberapa video anti-Rohingya sebenarnya dihasilkan pengganas Hindu di India! Semua skrip itu ditulis semula dan diputar belit untuk menghasilkan artikel kebencian ini yang sangat mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Wahai rakyat Malaysia, terutamanya saudara saudari Islam, saya terpanggil untuk memberi respons terhadap semua kandungan palsu itu bagi mempertahankan imej negara dan manusia tidak bersalah yang dituduh tidak bermoral.

Saya percaya kita perlu membezakan tingkah laku yang timbul disebabkan keadaan tidak menguntungkan yang dipaksa ke atas manusia dan tingkah laku akibat budaya manusia.

Ramai tidak menyedari kemunduran ketara etnik Rohingya berlaku ke atas mereka disebabkan kerajaan Myanmar. Malah, mereka dilucutkan hak untuk mendapat pendidikan asas secara sistematik, menghadapi proses penyahtarafan secara berterusan, penganiayaan dan diskriminasi terancang dalam semua aspek kehidupan selama 58 tahun.

Dalam pada itu, anda mungkin mendapati ada beberapa Rohingya yang mempunyai hak istimewa untuk tinggal di negara lain dan mendapat pendidikan sempurna. Justeru, mereka membuktikan kecemerlangan mereka di dalam pelbagai bidang, seperti Allahyarham Sheikh Muhammad Ayyub Muhammad Yusuf, bekas imam Masjidil Nabawi di Madinah, Yasir Arafat, saintis nuklear di Amerika Syarikat dan Dr Hussien Johar, profesor di Universiti Curtin Australia.

Di Myanmar, sebelum Akta 1982 (pindaan undang-undang diskriminasi kewarganegaraan) yang melucutkan hak Rohingya Islam daripada kewarganegaraan Myanmar, terdapat ratusan Rohingya yang merupakan pensyarah universiti berkelayakan tinggi berkhidmat di peringkat kesatuan serta negeri, tetapi ramai di antara mereka kini meringkuk di penjara, ditembak rejim Junta atau terpaksa hidup dalam buangan.

Di Malaysia, benarkan saya berkongsi pengalaman hidup dengan seorang Rohingya berpelajaran yang dikurniakan 2 cahaya mata. Alhamdulillah, melalui beliau, saya beruntung dapat mengenali ramai etnik Rohingya yang turut juga memiliki kualiti sama.
  1. Beliau ialah seorang lelaki yang taat dan hormat kepada ibu bapa serta orang lebih tua, seorang suami dan bapa yang penyayang serta bertanggungjawab.
  2. Beliau prihatin dan mengambil berat ahli keluarganya yang ramai, kawan, jiran tetangga dan semua yang tinggal di kampung halamannya. Beliau ialah individu penting dan dihormati ahli keluarganya.
  3. Beliau suka bergaul, beramal, peramah, beragama dan disenangi sesiapa saja yang mengenalinya.
  4. Mempunyai penghormatan tinggi terhadap negara, rakyat dan kerajaan kita. Beliau berusaha menjadi orang yang menyumbang secara konstruktif, positif dan produktif kepada masyarakat walaupun bukan warganegara sehinggakan saya sendiri rasa bersalah kerana kurang produktif berbanding beliau.
  5. Beliau sering merantau dan saya dapati beliau mempromosikan Malaysia di mana saja beliau pergi, dan akan memilih Malaysia berbanding tempat lain di dunia.
  6. Sebagai ahli perniagaan, 85% daripada kakitangannya ialah rakyat Malaysia dan sebahagiannya sudah bekerja dengannya sejak 6 tahun lalu. Mereka seronok bekerja dengannya kerana kebajikan mereka dijaga dengan baik.
  7. Beliau ialah seorang yang boleh dipercayai, berprinsip dalam kerjayanya tatkala berurusan dengan pelbagai bangsa di negara ini. Ada di antara pembekalnya ialah syarikat China dan India, tetapi wujud toleransi antara mereka menerusi interaksi perniagaan.
Ini hanya sebahagian kecil, sekadar memberi gambaran bagaimana seorang Rohingya berhak mendapat penghormatan daripada kita. Jika kualiti ini bukan warisan daripada budaya, tradisi dan tarbiah agama yang baik, maka dari mana datangnya?

Saya pernah merasai kekayaan budaya dan warisan Rohingya, seperti keramahan mereka terhadap tetamu dan orang tidak dikenali, kemurahan dan ketulusan hati, rajin, ketakwaan dan kerjasama dalam aktiviti sosial.

Sudah tentu kita berdepan sedikit pasang surut dalam kehidupan berumah tangga seperti pasangan suami isteri lain, tetapi kami tangani isu yang timbul dengan ungkapan “Alhamdulillah”.

Komuniti ini datang kepada kita dalam keadaan sehelai pinggang bergalaskan iman di dada, mengelak daripada penindasan tentera Myanmar yang tidak berperikemanusiaan seperti yang kita saksikan sejak 2012 sehingga hari ini. Tidakkah mereka sekurang-kurangnya berhak dihakimi berdasarkan fakta dan bukti konkrit?

Tolonglah berfikir sebelum menulis teguran sesama insan, berkongsi dan menularkan berita palsu tentang mereka.

Alhamdulillah negara ini mempunyai undang-undang. Sekiranya terdapat sebarang jenayah atau perbuatan salah yang dilakukan seseorang daripada mana-mana komuniti yang bermastautin di sini, biarlah pihak berwajib tanganinya secara adil dan saksama.

Akhir kata, saya ingin membekalkan anda dengan beberapa hadith Rasulullah untuk kita renungi dalam bulan Ramadan ini. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang menghilangkan sesuatu kesusahan seorang mukmin, Allah akan menghilangkan daripadanya satu kesusahan daripada antara kesusahannya di Hari Kebangkitan. Dan sesiapa meringankan keperluan orang yang memerlukan, Allah akan meringankan keperluannya di dunia dan akhirat. Sesiapa melindungi [atau menyembunyikan salah laku] seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong hambaNya selagi mana dia menolong saudaranya.”

“Telah dikatakan kepada Utusan Allah: ‘Yang mana di antara manusia yang terbaik?’ Baginda bersabda: ‘Semua orang yang berhati suci dan ikhlas di dalam ucapannya.’ Mereka berkata: ‘Ikhlas dalam ucapan, kami tahu apa ini, tetapi apa itu kesucian hati?’ Baginda bersabda: ‘Ianya (hati) yang warak dan suci, tanpa dosa, ketidakadilan, dendam atau dengki di dalamnya.’”

Nabi bersabda, “Orang yang beriman yang bergaul dengan manusia dan bertahan dengan kemudaratan, mereka mendapat lebih ganjarannya daripada seseorang yang tidak bergaul dengan manusia yang tidak juga bertahan dengan kemudaratannya.”

Rrakyat Malaysia yang dikasihi, ambillah peluang ini untuk berbakti kepada manusia dan mendapat keredaan Allah.

Semoga Allah membimbing kita semua dan Allah lebih mengetahui.

* Umm Ubadah Dahlia Kamaruddin ialah graduan Management and Science University.

Tiada ulasan: