HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Mei 2020

Saya seronok, baju disamakan dengan kuih muih - Ismail Sabri

Oleh Rohaniza Idris

WARNA baju batik Ismail Sabri dipadankan dengan pelbagai hidangan kuih-muih dan pencuci mulut oleh warganet. - Foto Facebook Ismail Sabri
WARNA baju batik Ismail Sabri dipadankan dengan pelbagai
hidangan kuih-muih dan pencuci mulut oleh warganet. - Foto 
Facebook Ismail Sabri
 
KUALA LUMPUR: "Saya seronok, ada orang menyamakan baju saya dengan kuih muih kerana pada bulan puasa saya faham semua orang fikir pasal kuih," kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau menganggap reaksi orang ramai mengenai pakaian dan penampilannya di televisyen setiap hari jam 2 petang itu sebagai sesuatu yang positif.

"Saya anggap perkara ini satu yang positif kerana rakyat pun teliti dengan apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan, hal seperti baju saya pun rakyat memberikan tumpuan," katanya dalam wawancara dengan BH di Putrajaya, kelmarin.
Sebelum ini, Ismail Sabri dalam laman rasmi Facebook beliau menyatakan terhibur dengan gelagat warganet yang memadankan pemilihan warna baju batik dipakai beliau dengan pelbagai jenis kuih-muih dan hidangan pencuci mulut.

"Kreatif betul warganet, (warna) baju saya dah jadi (hiasan) kuih-muih. Saya ingat saya jadi model batik Malaysia je (sahaja). Rupa-rupanya jadi model kuih dan ice cream (aiskrim) pula.

"Terima kasih warganet kerana menghiburkan bukan sahaja saya tapi seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan tata rias dan pemilihan baju yang beliau ingin pakai adalah hasil perbincangan beliau dan isterinya.

Katanya, isteri beliau bertanggungjawab mengenai pemakaian termasuk apa yang hendak dipakai, warna baju dan padanan baju dan seluar yang ingin dipakai.
Ismail Sabri berkata, menantunya Jovian Mandagie seorang pereka fesyen, juga selalu menasihatkannya mengenai pakaian. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri berkata, menantunya Jovian Mandagie seorang 
pereka fesyen, juga selalu menasihatkannya mengenai pakaian. - 
Foto BERNAMA
"Memandangkan saya, isteri dan hanya seorang anak saja di rumah, saya berbincang dengan isteri saya mengenai pakaian. Menantu saya, seorang pereka fesyen, Jovian Mandagie juga selalu menasihatkan saya mengenai pemakaian dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: