BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Bahang memakai pakaian pelindung diri (PPE) ketika bertugas di lapangan sambil menahan lapar dan dahaga kerana berpuasa sepanjang Ramadan ini, tidak penghalang seorang inspektor kesihatan memastikan khidmat terbaik kepada golongan memerlukan, demi kelancaran operasi saringan COVID-19 di Pasar Pudu di sini.
Kegigihan Inspektor Kesihatan, Shahir Razali, ketika bertugas tugas di lapangan hingga sanggup mengendong seorang warga emas yang uzur ke tempat saringan COVID-19 menarik perhatian ramai.
Kejadian itu berlaku ketika Shahir bersama rakan setugas, Mastura Maznor, terbabit dalam operasi mengesan penduduk untuk menjalani saringan COVID-19 di sekitar Pasar Pudu pada 5 Mei lalu.
Usaha mereka membantu warga emas itu dirakam seorang petugas media tempatan, Zahid Izzani, yang menyedari kegigihan kedua-duanya memastikan wanita yang terpaksa menggunakan alat bantuan pergerakan itu sampai ke tempat saringan.
Rakaman detik yang menyentuh hati itu, menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, untuk berkongsi menerusi akaun Facebook peribadinya malam tadi.
Dalam perkongsian itu, Dr Noor Hisham menyifatkan kedua-dua petugas terbabit mendalami makna slogan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 'Kami Sedia Membantu'.
"Melayani dengan penuh kemanusiaan tanpa mengira kaum dan agama. Inspektor kesihatan kami, Shahir Razali, mengendong seorang warga emas Cina ke pusat pemeriksaan COVID-19.
"Berpuasa ketika Ramadan ini sambil berkhidmat kepada mereka yang memerlukan dalam keadaan memakai PPE, anda adalah wira kami.
"Shahir Razak dan Mastura Maznor, anda mendalami erti slogan KKM, Kami Sedia Membantu.
Bangga dengan anda berdua," katanya menerusi status yang dimuat naik menerusi Facebook, malam tadi.
Dalam perkongsian berasingan, Dr Noor Hisham menyifatkan, setiap hari pelbagai cabaran baharu ditempuh petugas barisan hadapan KKM.
"Ketika krisis ini, kita dapat melihat semangat, kekuatan dan kreativiti ditunjukkan kakitangan yang melampaui bidang tugas.
"Gambar (usaha Shahir dan Mastura) mengungkapkan seribu makna. Terima kasih semua kerana melakukan yang terbaik untuk negara," katanya.
Sementara itu, ketika mengulas pujian dihamburkan Dr Noor Hisham itu, Shahir dengan rendah diri, menyifatkan apa yang dilakukannya ketika membantu wanita warga emas itu adalah perkara kecil.
"Ia adalah perkara kecil yang saya mampu lakukan kepada orang ramai dan cuba lakukan yang terbaik untuk membantu mereka.
"Terima kasih tuan tetapi pujian ini bukan untuk saya saja, sebaliknya kepada semua petugas barisan hadapan," katanya menerusi status yang dimuat naik menerusi Facebook.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan