HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Mei 2020

Waspada agenda jahat DAP


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 

dap


DAP cukup kesal dan kecewa apabila Kerajaan PH roboh dan mereka ditendang keluar dari mercu kuasa. Berpuluh tahun mereka merancang berhempas-pulas untuk capai puncak kuasa akhirnya berkecai hanya setelah 22 bulan di sana apabila PM ke-7 letak jawatan secara mendadak.

Tambah kesal apabila yang naik adalah sebuah Kerajaan yang menggabungkan kuasa politik Melayu atau Bumiputera, iaitu kuasa yang berjaya mereka pecah-pecahkan dalam PRU14 lalu, apabila masing-masing parti Melayu bertanding sesama sendiri.

Kini peluang untuk kembali berkuasa hampir mustahil walau mereka punya 42 kerusi di Parlimen.

Mengharapkan PKR dan PAN membina kembali kekuatan politik Melayu juga sia-sia setelah umat Melayu mendukung dan berdiri teguh di belakang Perikatan Nasional (PN) yang lebih teguh dan ke hadapan dalam menjamin dan membela nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Lalu apa kerja DAP kini? Berusaha melaga-laga dan memecahkan perpaduan politik Melayu, dengan harapan jika berkecai PN angkara sengketa dalaman, manalah tahu mereka berpeluang merangkak kembali ke Putrajaya.

Ahli Parlimen DAP Bangi Dr Ong Kian Meng telah mulakan dengan membangkitkan kononnya ketidakpuasan hati Umno dalam PN. PN kononnya rapuh dakwanya dan Umno berjaya dijinakkan oleh BERSATU.

Kemudian menurut posting Dr Kamarul Yusoff pemimpin DAP Johor, Lee Chin Tong pula menyucuk jarum dengan mendakwa kononnya Umno Johor sedang berkomplot mahu jatuhkan BERSATU hingga ke peringkat mahu bubarkan Dewan.

Rupanya kini dalam kekesalan dan kekecewaan lantaran hilang kuasa DAP sedang mengadu-domba sesama PN, melancarkan saraf pecah dan perintah untuk menghasut sesama parti Melayu dalam PN.

Boleh berjayakah agenda jahat mereka itu? Jika mabuk kuasa para pemimpin Melayu, sentiasa bersangka buruk sesama sendiri dan mementingkan agenda peribadi, tidak mustahil usaha pecah perintah DAP boleh berjaya dan akhirnya bumi dipijak kembali milik orang lain.

Akan tetapi jika kepentingan perpaduan kerana Allah S.W.T diletakkan di hadapan, keikhlasan dan kesungguhan berjihad mahu membela dan mempertahankan tanah air dari sebarang ancaman luar dan dalam menjadi tekad, datanglah fitnah dan serangan saraf DAP apa jenis sekalipun semuanya bakal ditepis.

Sempena bulan Ramadan yang mana di dalamnya diturunkan al-Quran maka wajarlah kita khasnya pimpinan politik Islam insaf dan sentiasa menjunjung al-Quran sebagai piagam perjuangan kita.
Allah S.W.T berfirman mengingatkan kita:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

(Ali-Imran: 103) Waspada dan beringatlah wahai pimpinan kami.  – HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: