BERITA HARIAN ONLINE
PONTIAN: Ahli keluarga serta jiran Noordin Mat Top, lelaki berasal dari Kampung Melayu, di sini yang menjadi individu paling dikehendaki di Asia Tenggara kerana dipercayai mendalangi beberapa serangan bom di Indonesia, sudah lama terputus hubungan dengan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Seorang jirannya yang juga bekas rakan sepermainan Noordin berkata, dia tidak pernah berjumpa dengan rakannya itu sejak lelaki berkenaan mula diburu pihak berkuasa lebih lima tahun lalu dan hanya mengetahui perkembangannya jika ada laporan dalam media massa.
“Sudah bertahun-tahun saya tidak berjumpa dengannya, malah setahu saya keluarga Noordin juga tidak pernah mendengar lagi khabar berita daripada bekas pensyarah itu,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Tinjauan Berita Minggu ke kediaman keluarga Noordin, semalam mendapati tiada sesiapa di rumah kerana abang sulung bekas pensyarah itu, Arif dikatakan menerima rawatan kerana sakit jantung di sebuah hospital di ibu negara.
Seorang penduduk kampung berkenaan yang juga enggan dikenali, berkata, dia terkejut apabila mengetahui Noordin diburu pihak berkuasa kerana kegiatan keganasan di rantau ini sejak beberapa tahun lalu.
“Dia tidak pernah lagi kembali ke kampung selepas pihak berkuasa memburunya. Sebagai seseorang yang mengenalinya, sudah tentu saya terkejut kerana pembabitannya dalam kegiatan militan,” katanya.
Noordin, pakar bom paling dikehendaki Indonesia kerana dikaitkan dengan siri pengeboman di negara itu sejak 2002, dilaporkan mungkin terbunuh dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah, semalam.
Dalam kejadian itu, polis Indonesia membunuh dua suspek militan, selain menahan lima lagi suspek serta merampas bahan letupan dan sebiji bom kereta.
Dua stesen televisyen Indonesia melaporkan, Noordin yang dikepung dalam rumah berkenaan kira-kira 17 jam, terbunuh dalam operasi itu, namun tidak dapat disahkan sehingga ujian DNA dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan