BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan DAP Selangor yang mahu sebuah badan disiplin Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan bagi menghadapkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengkritik secara terbuka seorang pemimpin DAP merangkap Exco kerajaan negeri itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata penubuhan badan disiplin seperti itu melangkaui bidang kuasa parti lain, sedangkan isu yang berpunca daripada penjualan minuman keras itu memadai dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PR.
“Tidak perlu penubuhan badan disiplin kerana hal yang berkaitan disiplin di bawah bidang kuasa parti masing-masing. Hanya parti yang boleh menangani masalah disiplin ahlinya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Katanya, tindakan Hassan melangkaui kepentingan politik dan berlandaskan hukum agama yang sememangnya mengharamkan penjualan arak kepada orang Islam dan ia perlu dihormati bukan Islam.
“Isu agama sensitif... sekiranya kita boleh menghormati hak agama lain, penganut agama lain juga perlu faham serta menghormati hak kita,” katanya sambil disokong Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Ab Rani yang berpendapat isu itu boleh diselesaikan secara baik oleh pemimpin PR.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, berkata perbezaan pendapat dalam PR adalah perkara biasa, sekali gus tidak memerlukan badan disiplin diwujudkan kerana gabungan parti pakatan menghormati satu sama lain.
Semalam, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, dilaporkan mahu badan disiplin itu diwujudkan segera berikutan tindakan Hassan yang disifatkannya mencurigakan apabila mendesak supaya wakil rakyat DAP, Ronnie Liu digugurkan sebagai Exco negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan