Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM - Sepasukan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya merampas beberapa dokumen dalam serbuan di pejabat Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail di tingkat 2, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini petang ini.
Dipercayai dokumen yang dirampas dalam serbuan dua jam yang bermula kira-kira pukul 3 petang itu merupakan dokumen peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa yang menjadi DUN angkat Rodziah. Antara dokumen yang dirampas ialah baucer pembayaran.
Ini adalah kali kedua pegawai SRPM menyerbu pejabat Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga selepas serbuan pertama pada Rabu lalu yang gagal memperolehi apa-apa.
Selepas selesai mendapatkan dokumen dari pejabat Rodziah, kumpulan pegawai berkenaan pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah Klang untuk mencari beberapa dokumen lain yang membabitkan peruntukan di DUN sama.
Mereka turut membawa Pegawai Khas kepada Rodziah, Mohd. Saadon Mohar, ke Pejabat Tanah dan Daerah Klang.
Sementara itu, Mohd. Saadon yang dihubungi pemberita berkata, kunjungan pegawai SPRM ke pejabat Rodziah itu bukanlah kejutan berikutan SPRM sudah memberi notis mengenai kedatangan mereka.
Menurut beliau, pada Rabu lalu, pegawai SPRM menghubunginya untuk mendapatkan dokumen membabitkan peruntukan bagi DUN Sementa untuk 2008 dan 2009 dan beliau memaklumkan kepada mereka semua dokumen itu disimpan di pejabat Rodziah.
''Tadi mereka mengambil salinan dokumen berkenaan di pejabat Rodziah dan kemudian ke Pejabat Tanah dan Daerah Klang bagi mendapatkan dokumen lain membabitkan peruntukan di DUN Sementa.
''Mereka melayan saya seperti biasa dan saya juga ditemani seorang peguam yang bernama Zuliana, yang dilantik kerajaan negeri," katanya.
Mohd. Saadon berkata, ketika pegawai berkenaan ke pejabat Rodziah petang ini, wakil rakyat itu tiada berikutan menghadiri satu program berkaitan portfolionya.
Katanya, pegawai SPRM masih lagi berada di Pejabat Tanah dan Daerah Klang untuk memperoleh salinan dokumen yang mereka perlukan sehingga pukul 6.45 petang ini iaitu ketika beliau meminta diri untuk pulang.
Ditanya adakah beliau dipanggil untuk disoal siasat SPRM selepas ini, Mohd. Saadon memberitahu, salah seorang pegawai terbabit memaklumkan akan menghubunginya kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan