HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Ogos 2009

Ahli UMNO berhimpun sokong tindakan MBSA

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Hampir 200 ahli UMNO berhimpun di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu merampas minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini pada 29 Julai lalu.

Mereka menyifatkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berlandaskan undang-undang termasuklah menghalang penjualan minuman keras ke atas umat Islam yang merupakan majoriti penduduk di kawasan itu.

Dalam perhimpunan yang bermula pukul 3 petang itu, kesemua mereka turut mengutuk tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan MBSA memulangkan semula 70 tin dan botol minuman keras kepada kedai serbaneka terbabit serta membenarkan penjualan minuman tersebut kepada penduduk di situ yang majoritinya adalah penganut Islam.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Shah Alam, Azhari Shaari, pihaknya menyifatkan MBSA telah menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan larangan penjualan minuman keras berlandaskan undang-undang yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis MBSA 4/2009.

"Kami menyokong penuh tindakan MBSA ini. MBSA telah lakukan perkara yang betul merampas minuman keras berkenaan.

"Malah kami mengutuk tindakan Ronnie menghalang dan memaksa MBSA memulangkan semula arak berkenaan selain mengatakan bir bukan minuman keras adalah satu kenyataan yang dangkal, bodoh serta tidak bertanggungjawab," katanya selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Nor.

Tambah Azhari, kenyataan Ronnie itu juga satu bentuk penghinaan kepada umat Islam kerana arak tidak kira berapa kandungan alkoholnya adalah haram dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran serta difatwakan oleh Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dalam perhimpunan yang berakhir pada pukul 4 petang itu, kesemua penyokong termasuk penduduk kawasan Seksyen 8, turut membawa beberapa sepanduk yang antaranya tertulis 'Ajar Ronnie dengan ISA'; 'Pakatan Rakyat Halalkan Arak' dan 'Pas Dulu Takbir, Sekarang Take Beer (ambil arak)'.

Bagaimanapun, tiada seorang pun pemimpin atau penyokong daripada Pas menyertai perhimpunan tersebut walaupun parti itu lantang bersuara menentang tindakan Ronnie sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut menyatakan bahawa UMNO bahagian itu termasuk bahagian lain di negeri itu memberikan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai 'Pengkhianat Melayu'.

"Kita akan tetap berdiri di belakang Timbalan Presiden (Muhyiddin). Kita akan menyokong beliau dan yakin bahawa apa yang dinyatakan beliau terhadap Anwar itu adalah benar, tidak perlu minta maaf," ujarnya.

Tiada ulasan: