HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Ogos 2009

Suami rogol, liwat isteri kena 15 tahun

Tertuduh mengaku salah turut dihukum 3 sebatan

Oleh Rosli Abdul Jalil


KUANTAN: Suami yang merogol dan meliwat isteri sambil mencekik mangsa dihukum penjara berjumlah 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dilakukan pada April lalu.

Hakim Hassan Abdul Ghani yang membuat keputusan itu memberitahu tertuduh mahkamah mengambil kira penderitaan yang dialami mangsa sejak mula berkahwin dengan tertuduh.

“Mahkamah tidak dapat menerima apa yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa dan perlu dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya, ” katanya.

Lelaki itu dihukum penjara lima tahun atas tuduhan merogol dan penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap tuduhan meliwat. Bagaimanapun, mahkamah memerintah hukuman itu berjalan serentak, iaitu 10 tahun.

Tertuduh hanya menundukkan muka dan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dibacakan oleh hakim tetapi sebaik dibawa keluar daripada kandang tertuduh, dia kelihatan berpelukan dengan ahli keluarganya sambil menangis.

Berdasarkan kepada fakta kes, tertuduh, 35, bekerja sebagai mekanik pada jam 3.15 petang 19 April 2009, mengheret mangsa yang ketika itu berada di bilik air utama rumah mereka untuk mengeluar baju daripada mesin basuh ke atas katil bilik utama memaksa isterinya melakukan persetubuhan.

Mangsa enggan mengikut kehendak suaminya dan merayu supaya dilepas daripada cengkaman tetapi tertuduh tidak peduli lalu terus mencekik kuat serta menampar kedua-dua pipi mangsa sambil mengugut supaya mangsa memenuhi permintaannya untuk bersetubuh.

Pada masa yang sama mangsa meronta dan cuba menendang tertuduh untuk melepaskan diri, namun tidak berdaya kerana tertuduh menghimpit dada mangsa dengan tangannya. Tertuduh kemudian menanggalkan seluar panjang dan seluar dalam isterinya lalu melakukan persetubuhan tanpa kerelaan mangsa.

Selepas itu, tertuduh terus mencekik mangsa supaya beliau menjadi lemah dan tidak dapat melawannya lalu meliwat isterinya tanpa mempedulikan jeritan dan tangisan mangsa. Sejurus melakukan perbuatan di luar aturan tabii itu, tertuduh bersetubuh sekali lagi.

Mangsa yang ditemani dua sahabat beliau kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan selepas itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan fizikal, perbidanan dan sakit puan (O&G) dan dubur pada hari yang sama.

Hasil pemeriksaan itu mendapati ada kesan lebam pada leher, lengan kedua-dua bahagian tangan, pinggul dan bahagian dada selain kecederaan pada bahagian kemaluan dan kesan koyakan lama pada bahagian kemaluan mangsa. Selain itu, pemeriksaan dubur terdapat kecederaan baru pada bahagian itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan kerana merogol dengan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya pada pada jam 3.15 petang ,19 April lalu.

Bagi tuduhan meliwat, dia didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama pada tarikh yang sama. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Syed Abu Bakar.

1 ulasan:

Luahan rasa berkata...

suami2 yang begini memang layak dihukum.ini lah padahnya kalau hanya pandai berbini tapi tidak belajar hukum hakam perkahwinan dan tidak tahu adap2 dalam pergaulan suami isteri.hukuman sebegitu sekurang2nya memberi pengajaran pada suami2 yang jahil dalam hal perkahwinan.