Oleh Azrina Ahzan
PUTRAJAYA: Biro Pengaduan Awam (BPA) mendedahkan kegiatan along kini menular di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dengan menjadikan penuntut sebagai mangsanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata kes terbaru membabitkan penuntut sebuah IPT swasta di Cyberjaya yang dimaklumkan kepadanya ketika mengunjungi IPT terbabit, semalam.
“Saya dimaklumkan bahawa kegiatan along kini sudah menular di IPT tempatan dengan memperdayakan penuntut terutama dari luar negara.
“Malah, dalam kunjungan ke sebuah IPT swasta semalam, pihak pengurusannya memaklumkan bahawa pelajar diminta menyerahkan pasport antarabangsa sebagai cagaran sebelum memberikan pinjaman, iaitu syarat yang cukup mudah walaupun untuk jumlah pinjaman yang tinggi,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata, pelajar yang gagal membayar pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan dikatakan akan ditahan atau dikurung untuk jangka masa tertentu.
“Kegiatan ini dikesan apabila IPT swasta terbabit gagal mengenal pasti lokasi pelajar terbabit (yang dipercayai ditahan atau dikurung) selepas lama tidak menghadiri kuliah.
“Ketika ini pihak IPT itu masih menunggu hasil laporan polis yang dibuat berikutan kehilangan pelajar itu,” katanya yang enggan mendedahkan secara terperinci.
Murugiah berkata, pihaknya percaya kegiatan along terbabit didalangi sindiket tertentu kerana mudah mendapat mangsa sebelum memperdaya pelajar terbabit supaya mengambil pinjaman wang.
“Mangsa bukan hanya pelajar asing, tetapi ada juga pelajar tempatan yang terpengaruh dan menjadi mangsa kegiatan terbabit,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, IPT swasta terbabit juga sedang mengkaji bagaimana kegiatan along itu boleh `memasuki' kampus itu dan mengingatkan penuntutnya supaya berhati-hati.
Berikutan itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi memastikan kegiatan itu tidak terus berleluasa di dalam kawasan kampus IPT.
Dalam pada itu, Murugiah berkata, BPA turut menerima aduan mengenai kegiatan menyewa kenderaan kepada penuntut IPT oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, walaupun menyedari penyewa tidak mempunyai lesen memandu.
“Pihak terbabit hanya mengenakan sewa yang rendah iaitu sebanyak RM10 sejam, tanpa mengambil kira sama ada pelajar terbabit memiliki lesen memandu atau tidak.
“Tindakan ini boleh menjejaskan keselamatan pelajar, kerana ada pelajar yang menyewa kenderaan itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia. Lebih memburukkan keadaan, pelajar itu dikesan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan