HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 September 2009

Khir Toyo terima ugutan ditembak

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini membuat laporan polis selepas diugut akan ditembak atau disumpit dengan sumpitan beracun oleh seorang pengirim surat yang tidak dikenali.

Beliau membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 12.54 tengah hari selepas membaca surat tersebut yang terselit bersama timbunan kad ucapan Selamat Hari Raya di pejabat gerakannya di Glenmarie di sini pagi ini.

Surat bertulisan tangan dalam bahasa Melayu yang diposkan dari Bukit Raja, Klang kelmarin tiba di pejabatnya di Sungai Panjang, Sabak Bernam semalam sebelum dibawa oleh pembantunya ke Glenmarie hari ini.

Mohamad Khir ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu berkata, beliau membuat laporan tersebut kerana bimbang keselamatan dirinya memandang beliau tidak lagi mempunyai pengawal keselamatan seperti semasa menjadi Menteri Besar dulu.

''Penulis surat ini menuduh saya cuba menjatuhkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor dan akan tembak atau sumpit saya dengan sumpitan beracun jika saya tidak berhenti.

''Dia juga mengugut akan menembak saya di mana-mana sahaja sama ada di Sungai Panjang, Sungai Haji Dorani atau di Shah Alam,'' kata beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Mohamad Khir.

Tiada ulasan: