BERITA HARIAN ONLINE
SHAH ALAM: Polis sudah mengenal pasti individu terbabit dalam kejadian sekumpulan penduduk dari Seksyen 23 yang didakwa membawa lambang berkaitan agama ketika berdemonstrasi di pintu masuk ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, tengah hari Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Asam Jamaludin, berkata mereka dikenal pasti itu berdasarkan gambar diambil ketika demonstrasi berkenaan.
"Mereka sudah dipanggil untuk keterangan mereka diambil. Siasatan sudah mencecah 80 peratus dan polis kini sedang dalam proses mengumpul maklumat dan bukti daripada semua saksi.
"Sebaik siasatan polis selesai, kami akan merujuk kes ini kepada pendakwa raya untuk tindakan," katanya.
Sehingga semalam, lebih 100 laporan polis sudah dibuat membabitkan kejadian Jumaat lalu.
Sementara itu, penduduk di kawasan itu, tukang jahit yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 38, berkata tapak cadangan kuil itu terletak berdekatan dengan sebuah taman permainan dan dewan selain kebanyakan penduduk menentang rancangan itu.
"Tapak kuil itu tidak ada dalam pelan asal ketika kami membeli rumah di sini. Jika kami tahu akan ada sebuah kuil dibina di sini, kami tidak akan membeli rumah di sini," katanya.
Seorang juruaudit, Yusof Nordin, 59, berkata kawasan itu tidak sesuai untuk pembinaan sebuah kuil berikutan ia berada di kawasan perumahan terutama di kawasan majoriti Melayu.
Yusof juga menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, yang menyatakan kebanyakan mereka yang membuat bantahan Jumaat lalu adalah orang luar.
Pesara yang mahu dikenali sebagai Kong, 55, berkata kebanyakan penduduk masyarakat Cina di kawasan itu tidak kisah jika kuil berkenaan dibina di kawasan itu, namun baginya lokasi asal di Seksyen 22 lebih sesuai untuk tujuan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan