Oleh Mohd Ali Bakri
KUALA LUMPUR : Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Shafie Apdal secara tidak sengaja meminta negara luar menghormati perundangan dan sistem kehakiman negara yang sudah lama korup sejak insiden pemecatan beberapa hakim pada akhir 1980-an.
Bercakap kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Sabah baru-baru ini, Mohd Shafie berkata, negara luar perlu menghormati undang-undang Malaysia memandangkan negara ini sentiasa menggalakkan rasa hormat kepada perundangan negara lain.
"Mungkin di sesetengah negara, tindakan tertentu oleh seseorang itu adalah sah. Bagaimanapun di Malaysia, ia menyalahi undang-undang dan pelakunya harus dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Untuk rekod, sistem kehakiman negara didakwa merosot begitu teruk selepas berlakunya krisis kehakiman, membabitkan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Mohammed Salleh Abbas dan dua orang Hakim Mahkamah Agung; Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah Kim Seng termasuk penggantungan tiga orang lagi Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.
Mohd Shafie yang juga Pengerusi Persatuan Anggota-anggota Parlimen Komanwel, berkata, negara lain, khasnya anggota Komanwel, perlu berfikir dengan mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung cara sesebuah negara itu menangani tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang negara berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan rasmi oleh Anggota Parlimen Australia yang menggesa Malaysia menggugurkan tuduhan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebagai pengerusi persatuan dan juga seorang Anggota Parlimen, saya rasa sangat kecewa kerana Australia mencampuri perlembagaan kita. Mereka tidak patut mempolitikkan undang-undang yang seharusnya dihormati di negara ini.
"Apa yang akan terjadi, katakanlah seseorang itu melanggar undang-undang di Australia, dan kita mendesak supaya orang berkenaan dibebaskan? Sudah tentu Anggota Parlimen di Australia akan marah," katanya.
Anwar selar sikap tidak peduli kritikan luar ke atas sistem kehakiman negara yang korup
Terdahulu, sebelum ini, Anwar menyelar sikap kerajaan yang tidak mempedulikan teguran luar negara ke atas isu fitnah liwat membabitkan dirinya sebelum ini.
"Ini bukan masalah kementerian luar negeri yang menjamin bahawa badan kehakiman ini bebas. Ini adalah persoalan mengenai kritikan orang luar terhadap badan kehakiman kita.
"Kita (kerajaan Malaysia) boleh tegur mengenai perang antara Arab - Israel, ketidakadilan ke atas serangan Afghanistan dan isu-isu di Darfour, jadi apa salahnya jika mana-mana ulamak luar dari mana-mana negara luar menegur mengenai kes penghakiman ini," kata beliau.
Tambah Anwar, cara penghakiman terhadapnya turut dikecam oleh ulama-ulama antarabangsa seperti Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Syeikh Wahbah Zuhaily.
"Demikian juga tokoh politik Australia membantah proses undang-undang ini. Jadi, sekarang bukan hanya orang Kristian dan orang Australia sahaja yang bantah hal (fitnah liwat) ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan