HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Februari 2010

Kartika sedih sebatan belum dilaksana

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Ibu dua anak yang disabitkan dengan kesalahan meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, sedih kerana hukuman sebat terhadapnya belum dilaksanakan hingga terpaksa menangguhkan hasratnya menunaikan umrah yang dirancang Mac ini.

Kartika Sari berkata, berita mengenai hukuman sebat dijalani tiga wanita di Penjara Wanita Kajang membuatkannya sedih kerana sepatutnya beliau sudah menjalani hukuman serupa seperti dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan beliau tertekan kerana seolah-olah 'dipermainkan' pihak tertentu.

"Sepanjang menanti hukuman, saya terpaksa berhadapan pelbagai situasi termasuk kisah saya yang disiarkan dalam blog dan menjadi cemuhan orang membacanya. Jika berlarutan, ia boleh mengaibkan saya dan keluarga," katanya dalam nada sebak ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan tiga wanita yang disabitkan kesalahan persetubuhan luar nikah menjadi kumpulan pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah negara ini pada 9 Februari lalu.

Kartika Sari berkata, beliau belum mendapat pengesahan hitam putih daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) atau Penjara Wanita Kajang berhubung pelaksanaan hukuman sebatnya.

Ditanya mengenai surat memohon perkenan menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, beliau berkata, urusan itu diserahkan kepada peguamnya.

"Difahamkan peguam saya sudah menghantar surat untuk menghadap Sultan Pahang baru-baru ini dan kami masih menunggu jawapan istana," katanya.

Beliau juga dihubungi bekas suaminya, Muhammed Affandi Amir, hampir setiap hari namun tidak mahu mendedahkan perbualan mereka kerana ia lebih bersifat peribadi.

Tiada ulasan: