HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Februari 2010

Kos penghantaran pulang pendatang asing RM3.5 juta setahun? - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Pengambilan pekerja asing perlu diperketatkan, apatah lagi memandangkan kos penghantaran pulang pendatang asing kini telah meningkat dengan kos paling rendah RM 3.5 juta setahun.

"Dasar pengambilan pekerja asing jangan dilonggarkan hingga memberi banyak masalah dalam masyarakat. Pas berkongsi kebimbangan dengan seluruh rakyat Malaysia yang kini begitu resah dengan kebanjiran warganegara asing khususnya mereka yang dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin atau tinggal melebihi waktu.

"Pekerja asing yang berpermit sahaja kini sudah melebihi 2.1 juta orang dan mereka bekerja dalam pelbagai sektor. Manakala mereka yang dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin dan tinggal melebihi waktu yang tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasan berjumlah sekitar 500 ribu sehingga 800 ribu orang," kata Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad.

Untuk rekod, sektor keselamatan negara kini dikuasai warganegara Nepal, pembantu rumah dikuasai warganegara Indonesia, restoran mamak dikuasai warganegara India, begitu juga sektor perkilangan, perladangan dan sebagainya.

"Yang menjadi kebimbangan rakyat adalah kewujudan koloni-koloni khas bagi warganegara asing ini hingga merubah suasana negara ini dan menakutkan rakyat.

"Di Lembah Klang sahaja kita boleh melihat beberapa kawasan dikuasai oleh warganegara asing. Chow Kit dikuasai oleh warganegara Indonesia, Pasar Selayang dikuasai oleh warganegara Myanmar dan Bukit Jalil dikerumuni warganegara dari Afrika," tambah beliau.

Selain menguasai kawasan perniagaan, kata Idris, peningkatan kadar jenayah ragut, rompak, cabul, rogol dan menganggu ketenteraman awam juga meningkat dalam kalangan warganegara asing ini sehingga ia menimbulkan rasa takut kalangan warga tempatan

Pada musim cuti perayaan, tambah beliau, Kuala Lumpur bertukar wajah dan indentiti sebagai ibu negara Malaysia hilang dalam sekelip mata dengan kebanjiran warganegara asing.

"Sebaiknya," tambah Idris, "pihak Imigresen membuat operasi di ibu negara pada musim-musim cuti bagi memantau hal ini. Pas berharap agar pihak Imigresen terus meningkatkan operasi membanteras pendatang tanpa izin dan mereka yang tinggal melebihi waktu yang dibenarkan."

Tahun lepas sahaja, menurut beliau lagi, kerajaan mengakui kegagalan mereka dalam mengesan kira-kira 40 ribu warganegara India yang tinggal di negara ini melebihi tempoh waktu.

"Kegagalan ini amat dikesali kerana tiada sistem pemantauan yang dibuat terhadap warganegara asing yang datang ke negara ini mengunakan visa ketibaan, visa pelajar atau visa pelancong," tambah Idris lagi.

Tiada ulasan: