HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Februari 2010

Mangsa rogol dibenarkan beri keterangan video

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan mangsa rogol untuk memberi keterangan melalui siaran langsung penghubung televisyen.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas menolak permohonan itu untuk dikaji keputusan Mahkamah Sesyen dalam membenarkan mangsa rogol memberi keterangan melalui penghubung video mengikut Seksyen 272B Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata walaupun sistem itu digunakan, pihak pendakwa dan pembela masih boleh memeriksa balas secara langsung saksi, seorang gadis 17 tahun.

"Penghubung video tidak dikira sebagai pembuktian yang direkodkan. Video itu mengambil bahagian sepenuhnya dalam prosiding mahkamah dengan berada di bilik kecuali gadis itu tidak hadir di mahkamah secara fizikal.

"Beliau boleh diperiksa balas. Bagaimanapun, peralatan yang akan digunakan dalam penghubung video mesti dalam keadaan baik. Hakim Mahkamah Sesyen telah menjalankan budi bicara penghakimannya dengan betul dan oleh itu saya menolak permohonan untuk semakan," katanya.

Gadis 14 tahun dirogol

Dalam kes ini, tiga lelaki didakwa merogol gadis itu, ketika itu berumur 14 tahun, dalam sebuah bilik di Wisma Indah, Jalan Pudu, Cheras, Kuala Lumpur antara 9.30 malam pada 13 Dis, 2007 dan 10.30malam keesokannya.

Pada 19 Nov, tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Fathiyah Idris membenarkan gadis itu, saksi pendakwa keempat untuk memberi keterangan melalui siaran langsung penghubung televisyen.

Permohonan untuk semakan itu dikemukakan oleh peguam Pari Perumal, yang mewakili Mohamad Amir Madzlan dan Nazrul Ismail, manakala Ahmad Shuaib Ismail Sham mewakili Shahrul Helmi Ab Halim.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin.

Sebelum ini, satu testimoni melalui rakaman video dijalankan dalam satu kes rogol kanak-kanak mengikut Seksyen 269 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Shah Alam pada 2003.

Tiada ulasan: