HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2010

Mustapa: Biaya wang ihsan Kelantan dihadkan beberapa tujuan

BERNAMA


PUTRAJAYA — Peruntukan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan akan dihadkan pembiayaannya kepada beberapa tujuan sahaja, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Kita merasakan jumlahnya kecil sekitar RM20 juta (jadi) tidak wajar kita mempunyai banyak program,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Bhd di sini hari ini.

“Di Terengganu jumlahnya (wang ihsan) amat besar. Oleh itu, ia boleh meliputi pelbagai aktiviti dan program bagi OKU (Orang Kurang Upaya), peniaga, pelajar dan sekolah,” katanya.

Mustapa berkata mesyuarat pertama jawatankuasa yang dilantik kerajaan persekutuan akan diadakan pada penghujung bulan hadapan bagi memuktamadkan pembiayaan di bawah program wang ihsan itu.

“Di mesyuarat itu kelak kita akan dapat kepastian tujuan dan aktiviti yang akan dibiayai oleh wang ihsan itu,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

“Ketika ini tujuannya belum lagi kita putuskan secara muktamad tetapi kita telah mendapat pelbagai input daripada rakyat Kelantan dan pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas keengganan wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa itu, Mustapa berkata soal itu tidak timbul kerana surat jemputan rasmi belum diedarkan termasuk kepada wakil kerajaan persekutuan sendiri.

Kerajaan negeri sebelum ini bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan sedangkan Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5km) diukur dari paras air surut.

Kerajaan pusat bagaimanapun memutuskan untuk memberi wang ihsan kepada Kelantan sebagai ganti royalti minyak mulai tahun ini, dan RM20 juta itu adalah bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008, sama seperti yang termaktub di dalam perjanjian Akta Peroleum 1975, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Tiada ulasan: