HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2010

Usaha Tarik Minat Golongan Muda Terhadap Dondang Sayang

BERNAMA


DONDANG Sayang, sejenis persembahan muzikal tradisional Melayu Melaka, dikhuatiri terpinggir jika tiada usaha mempergiatkan kegiatan itu di kalangan generasi muda, kata penggiat seni warisan itu. Abas Katan, 63, tokoh dondang sayang negeri Melaka berkata persembahan dondang sayang masih mempunyai peminat tetapi penglibatan oleh golongan muda terlalu kurang.

"Kalau kita lihat persembahan dondang sayang di Melaka, kebanyakan penyanyinya terdiri daripada penyanyi veteran," katanya.

Dondang sayang adalah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu bersama kaum lain dengan cara berbalas pantun secara sepontan dalam gaya santai dan kadang kala melucukan.

Bukan sahaja penyanyi Melayu petah berpantun secara sepontan malah juga kaum Baba Nyonya, Portugis dan Chetti.

Dondang sayang wujud di Melaka sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, nyanyian ini dikatakan dipersembahkan bagi menghibur tetamu dan pedagang yang singgah di negeri ini.

Penyanyi biasanya diiringi alat muzik seperti biola, rebana anak dan rebana ibu, tetawak (sejenis gong), akordian dan boleh juga dibantu beberapa alat muzik lain seperti tabla.

Abas yang kini menjadi tenaga pengajar persembahan dondang sayang di Taman Budaya, Ayer Keroh di sini, berkata stesen radio dan televisyen perlu lebih aktif membantu mempromosikan persembahan dondang sayang termasuk menganjurkan pertandingan seperti akademi fantasia.

"Majlis anjuran kerajaan negeri dan persekutuan yang melibatkan persembahan pentas juga perlu menampilkan dondang sayang," katanya.

Beliau berkata pihak swasta termasuk hotel dan resort boleh mengundang kumpulan dondang sayang mengadakan persembahan kepada pelanggan.

Nyonya Tan Abdullah, 60, penggiat dondang sayang keturunan Baba Nyonya, berkata Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara perlu lebih aktif menganjurkan bangkel dan program lain bagi mencungkil bakat baru.

Beliau berkata bakat baru yang berjaya dicungkil perlu diberi peluang lebih luas untuk membuat persembahan pentas.

"Setiap kali ada persembahan pentas tampilkan bakat-bakat baru ini, peringkat awal gandingkan mereka bersama penyanyi veteran," katanya yang juga Setiausaha Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka.

Nyonya Tan yang juga pengajar di Taman Budaya, berkata pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga perlu didedahkan dengan persembahan dondang sayang.

Tiada ulasan: