KUALA LUMPUR: Portal web berita Malaysiakini dan seorang penerbit pada Isnin memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kompliasi karya kartun.
MKINI Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan Malaysiakini dan syarikat penerbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd., telah memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan mengharamkan buku berjudul '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.
Dua permohonan itu difailkan berasingan melalui Tetuan Azzat & Izzat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini petang tadi.
Dalam permohonan itu, MKINI berkata buku '1 Funny Malaysia' diterbitkan oleh Malaysiakini pada November 2009 di mana hampir kesemua kartun dalam buku itu tersiar di ruangan Cartoonkini dalam Malaysiakini daripada Oktober 2006 hingga November 2009.
Katanya buku versi Inggeris itu merupakan kompliasi kartun oleh kartunis Zuliflee SM Anwarul Haque atau nama pena 'Zunar'.
Dalam pada itu syarikat penerbitan itu berkata buku versi bahasa Melayu, 'Perak Darul Kartun' diterbitkan pada November 2009 yang menyiarkan kartun politik pelbagai artist yang dipimpin oleh Zunar.
Kedua-dua mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai responden.
Mereka berkata pada 25 Mei lalu, timbalan menteri bagi pihak menteri telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan, pengedaran atau pemilikan dua buku itu atas alasan ianya memudaratkan ketenteraman awam.
Katanya buku itu menikmati jualan laris dengan sejumlah 4,000 salinan dicetak dan dengan pengharaman itu, pihak pemohon tidak mampu menjual baki buku itu dan oleh itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM17,320.
MKINI mendakwa mereka tidak diberi peluang memberi pandangan sebelum pihak responden membuat keputusan itu walaupun meminta supaya diberi peluang apabila buku itu dirampas oleh polis dan pegawai KDN pada atau antara bulan Januari dan Februari lepas.
Ia mendakwa kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web tersebut lebih dua tahun dan buku iti berada dalam pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.
Manakala Sepakat Efektif mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' berada dalam pasaran kira-kira enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteram awam.
Syarikat itu berkata buku itu menikmati jualan laris dengan lebih 11,500 salinan dicetak.
Berikutan pengharaman itu, pemohon gagal menjual baki buku itu dan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM115,000 sebagai nilai harga buku yang tidak dapat dijual.
Antara lain, mereka menuntut perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana bersifat 'ultra vires' (tidak dalam bidang kuasa) di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Mereka juga berkata tindakan KDN itu dicabar atas alasan ia tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan