BESUT — Felda memperkenalkan cara baru menyediakan tempat tinggal eksklusif kepada mereka yang uzur termasuk pesara melalui konsep “rumah hijau”.
Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor berkata Rumah Hijau Felda yang terbuka kepada rakyat negara ini menyediakan konsep tinggal dalam suasana selesa dengan layanan istimewa.
Katanya, mereka yang menyewa di rumah ini dijaga dan dirawat termasuk dilayani oleh petugas yang terdiri daripada anak-anak Felda yang terlatih dalam bidang kejururawatan dan juga doktor perubatan.
“Projek pertama Rumah Hijau Felda itu telah dimulakan di kawasan Felda Hot Spring, Sungai Klah, Sungkai, Perak yang mendapat sambutan mengalakkan di kalangan pesara dan orang tua,” katanya.
Dr Mohd Yusof bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan Yayasan Felda berjumlah RM100,000 kepada Pusat Latihan Ihsan (PULIH) Alor Lintang dekat sini hari ini.
Menurutnya, konsep tinggal dan rawat seperti ini belum pernah dilaksanakan di negara ini yang pasti dapat membantu setiap anak yang mahukan ibu bapa mereka yang uzur atau tua dilayan dan dirawat dengan sempurna kerana mereka sendiri tidak dapat melaksanakannya oleh kesibukan bekerja.
Dr Mohd Yusof menambah Yayasan Felda akan membuat pemantauan sepanjang masa dalam memastikan perkhidmatan kepada orang ramai di pusat penjagaan itu sentiasa baik.
Katanya, Felda akan memilih mana-mana lokasi baru di kawasan Felda yang menarik untuk pembinaan lebih banyak Felda Green Home pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan