KUALA LUMPUR: MCA akan mengutarakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengiktiraf taraf kewarganegaraan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan anak-anak mereka yang merupakan warga Malaysia, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Beliau berkata MCA telah melantik Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong untuk mempengerusikan satu pasukan petugas khas, bagi membantu pemohon mendapat kewarganegaraan Malaysia.
"Didapati 25,751 orang Cina di negara ini masih memegang kad pengenalan Merah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti itu di Wisma MCA pada Khamis.
Dr Chua berkata MCA memberi tempoh enam bulan bagi Lee untuk memperhalusi semua permohonan dan mengemukakan laporan kepada Majlis Presiden kelak.
Dalam perkembangan lain, Presiden MCA berkata parti itu akan mengadakan dialog bajet dengan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana, yang bertujuan mengumpul maklumat perniagaan dan masalah dihadapi oleh semua lapisan masyarakat, pada 14 Sept di Wisma MCA.
"Kami akan mengemukakan maklumat yang dikumpul kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga selaku Menteri Kewangan, kami yakin input yang kami dapat boleh membantu kerajaan mengeluarkan hasil bujet yang mesra rakyat," katanya.
Ditanya mengenai pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam yang dicadangkan PAS, Presiden MCA itu berkata PAS tidak akan mengalah dalam soal agenda Islam sekiranya pakatan parti DAP-PAS-Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengambil alih Putrajaya.
Katanya falsafah parti pakatan adalah lebih kepada "undi dahulu, bertelagah kemudian sementara rakyat pula sengsara".
"Saya tidak menyatakan mereka tidak akan berjaya membentuk kerajaan persekutuan, tetapi ia akan membuka mata rakyat Malaysia," katanya.
Dr Chua berkata adalah salah untuk menyatakan "kenapa kita tidak cuba memberikan mereka peluang" kerana ini adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan