HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2010

Jaminan Najib, masih percaya cara terbuka tangani ketegangan


KUALA LUMPUR — Ketika negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan yang ke-53 dengan siri kontroversi perkauman, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak akan menggunakan pendekatan ‘keras’ dalam menangani situasi semasa kerana dipercayai bimbang akan membawa persepsi pentadbiran ‘autokrasi’’.

The Malaysian Insider difahamkan, Najib ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu ada menekankan aspek berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi BN dikatakan mengetepikan syor pelbagai pihak agar kepimpinananya menggunakan undang-undang tegas termasuk kemungkinan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beberapa pihak mengesyorkan pendekatan sedemikian ketika negara menyaksikan kenyataan berbaur rasis melibatkan dua pengetua masing-masing dari Johor dan Kedah manakala kumpulan membela komuniti Cina dan MCA menggesa agar proses liberalisasi ekonomi dipercepatkan.

Gesaaan MCA itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan sesetengah pemimpin Umno dan NGO Melayu.

“Datuk Seri Najib ada memberitahu bahawa beliau tidak terfikir untuk menggunakan undang-undang bagi mengawal kebebasan bersuara meskipun ada yang berpandangan sebaliknya.

“Beliau berkata bahawa keadaan masih terkawal,” kata sumber-sumber kalangan anggota MT Umno kepada The Malaysian Insider.

“Perdana Menteri berkata beliau masih percaya pada politik terbuka, bukannya autokrasi, kita berada dalam alaf baru,” kata pemimpin itu.

Kali terakhir negara menyaksikan penggunaan ISA secara besar-besaran adalah ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad - Operasi Lalang pada 1987.

Ketika kemarahan terhadap pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar Cina dan India belum reda, penulis kirik muda dari Muar Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee mencetuskan kontroversi baru.

Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.

Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Setakat semalam polis mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung klip video berbaur perkauman terbaru oleh Wee.

Polis mengingatkan semua pihak agar membiarkan polis melakukan siasatan dan tidak perlu bagi mereka mempolitikkan perkara tersebut.

Sejak beberapa hari lalu pentadbiran Najib juga berhadapan dengan tekanan ekoran syor-syor daripada pemimpin dalam Umno dan Perkasa akan mengenakan larangan ke atas bukan Islam melawat masjid dan surau.

Pada 22 Ogos lalu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan ISA terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

MPM memberikan syor itu dengan merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang mendakwa Dr Chua melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan meminta ekuiti 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan dikurangkan.

Beberapa hari sebelum syor MPM itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS khuatir Perkasa sengaja cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang dilihat boleh menyediakan ruang kepada BN menggunakan semula operasi ISa terhadap pembangkang.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terbesar itu, berusia dua tahun, kelihatan lantang dan ke hadapan dalam memberi amaran kepada mereka yang mempersoalkan dasar-dasar afirmatif Bumiputera.

Melihat perkembangan terbaru, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Samsul Adabi Mamat perdana menteri sentiasa berusaha ke arah mahu menggunakan keterbukaan politik sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan April tahun lalu.

“Beliau ada mengatakan dalam ucapannya bahawa kita bukan lagi berada dalam tahun 1970-an, di mana kerajaan boleh menggunakan kuasannya sebagaimana ia suka,” kata Samsul kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

“Dalam kebanyakan tindakannya, kita boleh melihat bahawa Datuk Seri Najib Razak kelihatan terbuka, beliau berkata beliau terbuka untuk (sebarang) perbincangan,” kata beliau merujuk kepada pendirian terbuka kepada idea agar mahasiswa dibenar terlibat dalam politik.

Samsul menambah, tidak mungkin Najib akan gagal dalam meyakinkan parti beliau dalam melaksanakan pendekatan baru ini.

“Memang akan ada percanggahan antara kepimpinan tertinggi, pemimpin-pemimpin peringkat pertengahan dan akar umbi. Bagaimanapun secara tradisi, Umno akan sentiasa patuh kepada kepimpinan tertinggi,” jelas Samsul.

Seorang lagi penganalisis dari UKM, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, jika itu yang disebutkan oleh Najib bermakna ketua BN itu mahu menggunakan pendekatan baru dalam menangani persekitaran politik buat masa sekarang.

Kata beliau, kemungkinan Najib sudah sedar bahawa pendekatan ‘keras’ yang perlu diambil untuk menangani pesaing politik sudah tidak berkesan lagi pada alaf baru ini.

“Dalam situasi sekarang setiap tindakan tegas yang dikenakan oleh kerajaan sebenarnya akan mencetuskan simpati ke atas mereka yang menjadi mangsa, misalnya mereka yang ditahan dan diheret pihak berkuasa, maklumat dan imej disiar meluas dengan segera (dalam media alternatif)... jadi ini sebenarnya menimbulkan rasa simpati dan kerajaan pula dipandang negatif,” katanya.

“Kemungkinan Perdana Menteri sudah menyedari perkara ini.

“Jadi Perdana Menteri mahu menggunakan pendekatan mesra rakyat, tidak lagi bergantung pada kaedah kekerasan,” katanya.

Bagaimanapun penganalisis ini pesimis sama ada Najib benar-benar boleh melaksanakan dengan terbuka dan berkesan tanpa halangan ataupun tentangan daripada ahli-ahli Umno sendiri.

“Beliau boleh cakap tetapi adakah beliau boleh melaksanakannya, saya was-was dengan pelaksanaan (idea beliau),” kata Nizamuddin.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian juga melahirkan pandangan yang sealiran dengan Nizamuddin sama ada Najib selaku Presiden Umno boleh melaksanakan mengikut cara Umno.

Ibrahim menegaskan, ada juga ahli dalam Umno yang tidak boleh menerima pendekatan mesra rakyat ini, sebagaimana pernah disaksikan ketika era perdana menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Misalnya Pak Lah (Abdullah) pernah memperlihatkan pendekatan bertolak ansur tetapi akhirnya ia tidak mendapat sokongan menyeluruh dalam Umno, yang ahli-ahlinya menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang lemah (dan akhirnya ditolak),” katanya,

Oleh itu, Ibrahim meletakkan persoalan sama ada Najib boleh mengelakkan keadaan seperti itu di bawah era kepimpinannya.

Ibrahim juga berkata Najib cuba membawa beberapa pandangan yang dibangkitkan oleh Makmal Pemuda BN minggu lalu.

Makmal itu membentangkan rumusan dan syor mereka kepada Perdana Menteri.

“Saya rasa Perdana Menteri sudah sedar bahawa situasi menggunakan pendekatan keras dalam menangani sesuatu keadaan sudah berakhir... kemungkinan apa yang beliau sampaikan sekarang adalah pendekatan yang beliau tekankan ketika menyampaikan ucapan selepas dilantik sebagai perdana menteri (April 2009),” katanya lagi.

“Najib mahu menggunakan pendekatan berhujah berbanding kaedah undang-undang yang tegas, ini yang dimahukan oleh generasi muda sekarang... generasi muda mahu kerajaan berhujah apabila berhadapan dengan kumpulan yang mempersoalkan kerajaan, bukannya kaedah keras,” kata Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: