Oleh Shen Yee Aun
Perpaduan tidak dapat dicapai sekirannya kita yang berbangsa bukan Melayu ada prejudis, pemikiran negatif, perasaan takut dan gementar dan salah faham dan pandangan terhadap erti Melayu dan Islam yang sebenar. Kita akan cenderung untuk lebih menjarakkan dan menjauhkan diri daripada mereka.
Jangan sebab nila setitik rosak susu sebelangga. Jangan disebabkan beberapa pemimpin Melayu yang memiliki kepentingan politik dan peribadi sendiri dengan menggunakan nama Melayu dan Islam sebagai alat dan senjata maka kita terus menyalahkan seluruh komuniti Melayu dan Islam.
Keris
Sebelum ini ada seorang pemimpin Melayu menghunus keris ke langit dan mencabar bukan Melayu jangan mencabar mereka. Bukan Melayu kena faham bahawa itu bukan budaya dan adat Melayu. Hakikatnya dalam adat mereka keris tidak boleh dihunus sesuka hati. Keris hanya boleh dihunus apabila mereka dicabar dan bukannya digunakan untuk mencabar. Sebab itu dalam adat Melayu ada pepatah menyatakan biar mati anak jangan mati adat. Namun ada juga sebilangan pemimpin yang lebih rela biar mati adat jangan mati UMNO.
Terdapat juga seorang pemimpin Melayu di Pulau Pinang yang menyatakan Cina adalah pendatang. Tindakan biadap dan kurang ajar ini juga bukan Melayu. Melayu yang sebenar kaya dan budi perkerti dan budi bahasa mereka. Jika benar sekalipun bukan Melayu adalah pendatang maka Melayu yang sebenar dalam budaya dan karya kesusasteraan mereka merupakan satu – satunya bangsa di dunia yang banyak menekankan tentang melayan tetamu mereka dengan baik.
Dalam Islam juga merupakan antara agama yang amat memuliakan tetamu.
“Setiap kamu terhadap kehidupan ini adalah seperti rumah tamu. Setiap hari kamu dikunjungi pelbagai tamu dengan pelbagai kerenah. Bukalah pintu untuk mereka dan layan sebaik yang kamu mampu. Andai kamu menutup pintu, kamu sangka diri makin selesa tetapi hakikatnya kamu semakin kehilangan segala-galanya”. (Jalaluddin al-Rumi)
Hak Beragama dan Beribadat
Terdapat juga segelintir pemimpin Melayu yang tidak menghormati hak beribadat dan beragama orang lain. Mereka ini bukan Islam yang sebenar. Realitinya dalam perlembagaan madinah iaitu perlembagaan pertama di dunia yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri memperuntukkan fasal – fasal perundangan untuk melindungi bukan Islam termasuk Yahudi dan mereka bebas mengamalkan dan mempraktikkan agama mereka.
Kelemahan Pemimpin Melayu
Soal negara ini lemah dipimpin oleh Melayu Islam. Tidak. Sejarah dan tamadun Islam kaya dengan kecermerlangan dan kegemilangan mereka. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kekayaan negara sampai boleh bertahan sehingga beberapa generasi. Begitu unggulnya pemerintahan dan pentadbiran Islam yang sebenar.
Isu Melayu malas dan tidak maju. Tidak. Itu bukan Islam yang sebenar. Tuhan mereka merupakan satu – satunya Tuhan di dunia dalam wahyu pertamanya menekankan tentang soal membaca dan menimba ilmu pengetahuan.
Keistimewaan dan Ketuanan Melayu
Melayu dikatakan telah merasakan mereka istimewa berbanding kaum di tanah ini. Itu juga bukan Melayu dan Islam yang sebenar. Pada pandangan Tuhan mereka tiada perbezaan antara keturunan dan warna kulit. Jika tidak mengapa Tuhan mereka memilih seorang rasul yang suku kaumnnya bukannya majoriti di Makkah pada ketika itu? Yang membezakan sesama diri kita di mata Tuhan adalah dosa dan pahala yang kita bina selama ini.
Isu ketuanan dan keistimewaan Melayu. Tidak itu juga bukan Melayu yang sebenar. Antara perjuangan awal Nabi Muhammad s.a.w di Makkah adalah hak persamaan taraf antara golongan hamba dengan suku kaum utama di Makkah iaitu Arab Quraisy pada ketika itu. Ciri – ciri Arab jahiliah seperti semangat kabilah dan assabiyah ditentang sepenuhnya oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Dendam Melayu
Melayu pada hari ini dikatakan berdendam. Tidak. Itu bukan Melayu Islam yang sebenar. Bangsa Arab Quraisy yang menyeksa penganut Islam , memulaukan Nabi dan keluarga , mencaci , menentang dan cuba membunuh Nabi Muhammad sendiri tetapi apabila Kota Makkah dibuka semula oleh Nabi Muhammad. Baginda sendiri tidak pernah membalas dendam terhadap segala ketidakbaikkan yang dilakukan oleh mereka.
Segala keganasan dan provokasi yang dilakukan oleh organinasi dan pemimpin tertentu juga bukan Melayu yang sebenar. Melayu amat mementingkan tentang sifat keserdehanaan. Islam pula mementingkan kedamaian.
Muafakat
Melayu yang sebenar amat mementingkan tentang soal muafakat, kerjasama dan perpaduan. Sebab itu banyak peribahasa Melayu yang berunsur sedemikian. Contoh bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, sehati sejiwa, berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dan pelbagai lagi.
Tun Mahathir
Ada juga seorang bekas Perdana Menteri negara baru – baru ini garang memperjuangkan agenda Melayu. Muka talam sebeginilah yang menggunakan Melayu dan Islam demi populariti sendiri. Beliau sendiri ada 22 tahun untuk memajukan Melayu tetapi ke manakah Melayu pada hari ini?
Hudud
Terdapat juga Melayu Islam sendiri yang cuba takutkan bukan Melayu terhadap perundangan Islam seperti Hudud. Pertama perundangan tersebut hanya tertakluk kepada Islam. Kedua jika kita tidak mencuri , merogol dan melakukan kejahatan mengapa kita perlu takut pada perundangan sebegini? Ketiga jika pada hari ini anak , adik dan orang terdekat kita yang menjadi mangsa penjenayah bukankah perundangan sebegini baik untuk kita?
Sekolah Vernakular
Terdapat juga Melayu Islam yang hendak menghapuskan sekolah vernakular. Hakikatnya dalam hadis mereka ada menyatakan tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.
PERKASA dan Ibrahim Ali
Perjuangan pertubuhan ini terlalu radikal. Kita lihat bagaimana Nabi Muhammad menyebarkan Islam. 3 tahun secara sulit dan 10 tahun secara terbuka namun tidak pernah menggunakan paksaan dan kekerasaan. Melayu pula percaya pada falsafah berpuasa iaitu hidup besederhana maka segala tindakan mereka seharusnya bersederhana.
Bukan Islam Masuk Masjid dan Isu Berdoa Untuk Bukan Islam
Isu ini hanya dipolitikkan semata – mata. Dalam al – Quran iaitu sumber rujukkan , tertinggi dan utama dalam Islam hanya menyebut hanya satu masjid al-haram dan tanah haram sahaja yang tidak boleh dimasuki oleh bukan Melayu. Nabi Muhammad sendiri membenarkan bukan Islam tinggal dan berada di dalam masjid pada zaman pemerintahannya. Iman Shafee juga menyatakan tiada masalah untuk bukan Melayu memasuki masjid.
Isu berdoa untuk bukan Islam juga dipolitikkan oleh pemimpin , organisasi dan media kawalan mereka. Sebagai bukan Islam saya tidak berani untuk mengatakan dari segi hukum boleh atau tidak namun yang saya pasti jika benar sekalipun mereka silap Islam yang sebenar adalah membenarkan mereka. Mengajar mereka dan membawa mereka ke arah jalan yang benar. Bukannya mengaibkan mereka di media , memaki , memalukan dan menyerang mereka. Saya pasti itu bukan Islam yang saya kenali.
Lagipun isu ini Teo Ni Ching sudah memohon maaf. Masih ingat bagaimana Khalifah Ali bin Abu Talib berhenti menyerang apabila pihak lawan menyerah diri dan mengaku kalah?
Isu Ekonomi Melayu Dirampas
Ekonomi mereka dirampas oleh Melayu UMNO dan bukannya bukan Melayu. Banyak Cina dan India yang kaya juga disebabkan oleh UMNO yang menjadikan mereka kaya . 52 Billion yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan Melayu lesap di tangan mereka. Fitnah dan tohmahan dalam Islam lebih teruk daripada membunuh. Sebab itu mereka bukan Melayu dan Islam yang sebenar. Mereka cuba mengasingkan penguasaan GLC yang dimiliki 100% oleh Melayu dalam ekuiti sebenar negara. Jika tidak Melayu sudah memiliki ekuiti lebih daripada 60% jika mereka jujur untuk melaporkannya.
Segala serangan dan kenyataan mereka yang bodoh , dangkal , keterlaluan , melampaui batas dan jahil juga bukan Melayu. Melayu amat berjaga – jaga dan tutur kata mereka. Terkenal dengan sifat kelembutan dan budi bahasa yang tinggi. Sebab itu dalam peribahasa Melayu ada menyatakan terlanjak perahu boleh diundur tetapi terlanjur kata buruk padahnya.
Saya Merayu Supaya Kita Adil Kepada Melayu dan Islam Lain
Bukankah Melayu dan Islam sebenar yang saya bongkarkan kepada kalian jelas menunjukkan betapa agungnya dan tingginya nilai , moral , etika dan kebaikkan Melayu dan Islam yang sebenar ? Jangan sesekali kita keliru untuk membezakan antara yang tulen dan yang palsu. Yang benar dan yang salah. Yang baik dan yang buruk.
Cubalah mendekatkan diri lagi kepada Melayu dan Islam yang sebenar yang banyak terdapat dalam masyarakat dan individu biasa di negara ini. Janganlah kita dipengaruhi oleh segelintir pemimpin dan organasisi sehingga kita ada Melayuphobia dan Islamphobia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan