KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan DAP tidak sensitif dalam usahanya mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang, yang menurut Umno telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu.
“Ia menunjukkan DAP tidak sensitif kepada agama dan kaum lain manakala Teo pula terlalu naif,” kata Khairy (gambar) kepada pemberita di sini hari ini.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata penjelasan Teo hari ini sebagai “sesuatu yang difikirkan kemudian” ekoran serangan pelbagai termasuk yang dibuat oleh Umno dan Perkasa.
“Kami tidak mahu alasan atau justifikasi. Isu ini mengenai sensitiviti agama lain,” katanya lagi.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa Barisan Nasional (BN) mengamalkan dwistandard mengkritik Teo berhubung kunjungannya ke surau itu.
“(Sebenarnya) satu kebiasaan bagi pemimpin parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak untuk datang ke masjid dan memberikan ucapan,” kata Salahuddin kepada The Malaysian Insider petang tadi.
Oleh itu kata beliau, apabila pemimpin BN melakukannya ia tidak dijadikan isu.
Terdahulu dalam kenyataan dikeluarkan tengah hari tadi, Teo menjelaskan bahawa kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.
“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.
“Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,” kata beliau.
Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.
Beliau turut menyambut baik pesanan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang.
Bagaimanapun Khairy menafikan bahawa Umno menjadikannya sebagai satu isu.
Beliau juga kecewa kerana Pakatan Rakyat menyalahkan Umno kononnya ia mempolitikkan isu berkenaan.
Kata beliau, DAP perlu memahami bahawa majoriti orang Islam negara ini kecewa dengan tindakan Teo.
Bagaimanapun Khairy menjelaskan PAS akan cuba menjustifikasikan tindakan wakil rakyat DAP penggal pertama itu.
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menghantar surat amaran kepada Teo kerana menyampaikan ceramah di ruang solat surau itu.
Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berdukacita.
Malah menurut Khairy, tindakan Mais adalah adil kerana turut menghukum pengurusan jawatankuasa Surau Al-Huda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan