HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2010

Sivarasa masih anggap pendapatan Pengerusi Felda RM2 juta benar


KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat R Sivarasa berkata, keengganan Tan Sri Mohd Yusof Nor mendedahkan jumlah pendapatan sebenarnya selaku Pengerusi Felda menunjukkan dakwaan bahawa nilai itu mencecah RM2 juta setahun adalah benar.

Sivarasa (gambar) berkata, keengganan Yusof mendedahkan pendapatan tahunannya kepada umum mempunyai maksud yang tersendiri.

“Beliau (Yusof) tetap tidak mahu jawab soalan yang saya ajukan, kenapa begitu sukar untuk menjawabnya? Yang saya peliknya beliau tidak nafikan perkara itu tetapi kata pendapatan tahunan adalah lebih kecil.

“Saya melihat keengganan beliau menjawab soalan itu seolah-olah mempunyai maksud yang tersendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Sivarasa berkata biar rakyat sahaja terutamanya peneroka membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh nak buat apa-apa kalau beliau (Yusof) tetap enggan memberikan jawapan. “Tetapi saya serah kepada rakyat untuk fikir dan buat keputusan,” kata Ahli Parlimen Subang itu.

Pada 20 Ogos lalu, Yusof menyifatkan Sivarasa sengaja mencari “publisiti murahan” kerana terus mendesak agak mendedahkan pendapatan yang diterima selaku Pengerusi Felda.

Sebelum ini, Sivarasa berkata Yusof sepatutnya mendedahkan ganjaran yang diterima kerana beliau berkhidmat dengan sebuah agensi ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

Ini kerana Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperolah pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan elaun.

Namun Yusof yang dihubungi The Malaysian Insider menafikan jumlah tersebut dan mengatakan pendapatan tahunannya selaku Pengerusi Felda adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah didakwa Sivarasa.

Yusof bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pendapatan beliau.

“Saya tanya pasal pendapatan tahunan beliau (Yusof) enggan jawab, sebaliknya tuduh saya sengaja cari publisiti murahan,” katanya.

Kata beliau, sebagai pemimpin sudah menjadi kewajibannya membantu rakyat mengetahui kebenaran.

“Tapi nampaknya beliau sudah mula menyerang peribadi saya kerana isu-isu yang dibangkitkan mengenai nasib peneroka sebelum ini,” katanya lagi.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

Tiada ulasan: