HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2010

Tugu keris perlukan perhatian


SINAR HARIAN ONLINE

KLANG – Kedudukan mercu tanda Bandar di Raja, Taman Tugu Keris kini menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada penduduk setempat.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Nor Ain Eusoff berkata, ketika tinjauan yang diadakan sebelum ini, keadaan taman berkenaan seperti tidak diselenggarakan.

Menurutnya, longkang di situ tidak terurus dan persekitaran juga agak kotor serta berisiko kepada pengunjung.

“Saya agak terkejut kerana menemui ular yang agak besar pada satu lawatan sebelum ini berikutan keadaannya yang agak semak.

“Malah lebih menghairankan, taman berkenaan juga tidak mempunyai papan tanda untuk pengunjung ke situ sedangkan ia menjadi tumpuan penduduk sekitar Bukit Kuda dan Kampung Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Bulanan di sini.

Hadir sama ialah Yang Di Pertua MPK, Mislan Tugiu, ahli-ahli majlis, ketua jabatan dan wakil agensi yang terlibat.

Sementara itu, isu berkaitan tempat-tempat bersejarah yang mempunyai nilai bersejarah menjadi tumpuan apabila beberapa ahli majlis meminta kriteria untuk ia dijadikan tapak warisan.

Pengarah Korporat, Dawari Daud berkata, syarat berkenaan sebenarnya ditentukan oleh Jabatan Warisan dan pada masa yang sama pihaknya juga menerima sebarang lokasi baru untuk dicadangkan kepada jabatan berkenaan.

Tiada ulasan: