MALAYSIA KINI | ||
|
Memetik tulisan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) Fathul Bari Mat Jahaya, Zulkifli berkata apa yang berlaku itu amat ironis kerana pada masa yang sama golongan bukan Islam dibenarkan, "sambil memijak tempat sujud umat Islam".
"Dikenali sebagai seorang yang giat berdakwah melalui ceramah dan penulisan, beliau (Fathul Bari) sendiri pernah ditahan kerana memberikan tazkirah (tanpa tauliah) di dalam sebuah surau," kata Zulkifli yang dipecat daripada PKR sebelum ini berpunca daripada pendapat berbezanya dalam isu kalimah Allah.
Zulkifli dipercayai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki dan memberikan ucapan di sebuah surah di Kajang - yang mengundang perdebatan hangat, sehingga Sultan Selangor dikatakan amat murka dan dukacita.
Walaupun dilaporkan memberikan 'tazkirah', Teo bagaimanapun menjelaskan beliau hanya hadir memberikan sumbangan kewangan kepada pengurusan surau dan tidak menyentuh langsung perkara politik dalam ucapannya.
Menulis dalam blognya, Zulkifli juga memperli sikap umat Islam yang didakwanya "tanpa segan (dan) malu menghulur tangan menagih angpau dan bantuan dari tangan kafir harbi ini."
Pada 1 Mac lalu, Fathul Bari dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah sehari sebelum itu.
Fathul Bari dituduh bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan. Kes tersebut masih dibicarakan.
Fathul: Urusan niat adalah milik Allah
Sementara itu, Fathul Bari dalam tulisannya yang dirujuk Zulkifli itu antaranya berkata, apa yang berlaku sekarang berbeza dengan keadaan di masa lalu apabila bukan Islam masuk ke masjid "untuk didakwah".
"Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah.
"Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama," tulisan Fathul Bari dalam Utusan Malaysia itu dipetik.
Dalam tulisan itu, Fathul Bari juga memuatkan pendirian majlis fatwa ulama Arab Saudi yang "bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali."
Justeru, anak bekas mufti Perlis itu meminta semua pihak lebih berhati-hati dalam memohon bantuan kewangan agar tidak melanggar dasar dan prinsip Islam.
Manakala orang Islam yang berkemampuan pula dinasihatkan tidak terlalu memilih parti sahaja untuk dibantu.
"Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram.
"Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah," tulisan Fathul Bari itu dipetik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan