HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2010

Anggota langsung: BN putuskan hujung tahun ini, kata Najib


KUALA LUMPUR, — Barisan Nasional (BN) akan menentukan menjelang akhir tahun ini sama ada akan membenarkan keanggotaan langsung di sebalik gesaan agar perikatan yang menerajui kerajaan persekutuan sejak lima dekad lalu melalui pembaharuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata BN kini mempertimbangkan idea itu dan keputusan akan dibuat ketika konvensyennya akhir tahun ini.

“Kami sedang memikirkan idea ini,” kata beliau yang juga Pengerusi BN menjawab soalan ketika pertemuan anjuran Makmal Pemuda BN di sini hari ini.

“Jadi sehingga itu anda jangan sertai (mana-mana) parti politik,” gurau beliau.

Presiden Umno itu berkata meskipun secara tradisi BN merupakan gabungan pelbagai parti berasaskan kaum tetapi ada usaha untuk bergerak ke depan dengan menyediakan peruntukan keanggotaan langsung.

Najib berkata, BN sedang berusaha untuk mengadakan lebih banyak ruang seperti itu meskipun asalnya ia adalah gabungan parti mewakili kepentingan kaum-kaum di negara ini.

“Kami sedang bergerak ke arah keanggotaan langsung, jika ia menggambarkan tujuan konsep 1 Malaysia, maka ia adalah (langkah) baik,” kata Najib.

Sejak Najib menjadi Pengerusi BN beliau juga menggalakkan kerjasama dengan parti-parti bukan gabungan BN dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Pandangan itu menjadi perhatian selepas BN memperlihatkan prestasi paling buruk sejak ia dibentuk hampir empat dekad lalu.

BN dibentuk bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak komponen selepas keputusan pilihan raya umum 1969.

Sehingga 1969 Perikatan terdiri daripada tiga anggota komponen iaitu Umno, MCA dan MIC.

Antara yang pernah mengesyorkan idea itu ialah pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah agar BN membuka kepada keanggotaan langsung.

Tiada ulasan: