HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2010

Kelau: Permohonan orang Asli ditolak

BERNAMA


Seramai 27 orang Asli hari ini gagal dalam permohonan bagi semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar yang meluluskan laporan kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek pembinaan Empangan Kelau, Raub, Pahang yang memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan menolak permohonan itu tanpa sebarang kos berikutan kes itu mempunyai kepentingan awam dan berkaitan peruntukan perundangan.

Dalam penghakimannya, Mohd Zawawi berkata ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar telah mematuhi kewajipan fidusiari untuk melindungi, memajukan dan memelihara orang Asli dan beliau mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Jika dilihat keseluruhan keterangan di dalam kes ini, pihak responden pertama (ketua pengarah) apabila membuat keputusan meluluskan EIA, beliau sebenarnya telah mematuhi fidusiari yang ditetapkan mengikut Seksyen 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Sebelum diluluskan satu laporan penilaian tentang alam sekitar dan langkah-langkah untuk mencegah dan mengawal projek ini telah disediakan mengikut Seksyen 34A(3). Bagi memenuhi kehendak akta, satu penilaian terperinci mengenai kesan alam sekitar tentang pembinaan projek ini telah disediakan oleh satu syarikat konsultan dan dikemukakan oleh agensi di bawah kementerian kerja raya pada 20 Ogos 2000.

"Laporan akhir telah disebarkan secara meluas di akhbar tempatan dan dipamerkan di tempat strategik selama sebulan untuk mendapatkan maklum balas dan ulasan daripada orang ramai. Selepas diiklankan terdapat 25 maklum balas diterima termasuk dari kumpulan alam sekitar, badan bukan kerajaan seperti WWF Malaysia," katanya.

Susulan maklum balas itu satu laporan telah dirujuk kepada beberapa pakar yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar bagi membuat penilaian dan lapan pakar profesional yang berkaitan alam sekitar telah dilantik, katanya.

Katanya pada 22 Feb 2001, satu jawatankuasa telah mengadakan perbincangan dengan mengambil kira maklum balas dan maklumat daripada tenaga pakar sebelum dilulus pada 24 Feb 2001.

"Ini bermakna laporan ini tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi ia berdasarkan input. Pemohon-pemohon telah dimaklumkan laporan ini pada April 2002 dan telah bermesyuarat. Dikatakan pada 1998 hingga 2002 terdapat 30 kali taklimat diadakan di antara orang Asli dan pihak yang mengendalikan projek," katanya.

Selain itu mengenai dakwaan pemohon bahawa projek itu tidak mengambil kira kepentingan orang Asli, Mohd Zawawi berkata ia adalah tidak munasabah kerana orang Asli di kawasan itu telah ditawarkan pampasan yang bersesuaian.

"Peguam kata sebilangan tanah yang didiami orang Asli akan ditenggelami air dan terdapat penghijrahan etnik ini bila projek dilaksanakan. Mereka akan dipindahkan ke Sungai Bilut yang seluas 800 ekar yang menelan belanja RM37 bilion.

"Setiap orang Asli akan dapat satu banglo tiga bilik, enam ekar tanah dengan milik individu, lima ekar tanah yang akan ditanam dengan pokok kelapa sawit dan enam ekar tanah untuk buah-buahan serta elaun bulanan berjumlah RM638 diberi selama 48 bulan dan gantirugi RM1.5 juta untuk bangunan, tanah, sayur-sayuran dan lain-lain.

"Pada pandangan saya jika dilihat pada skim yang dirancang, adalah tidak munasabah bahawa kebajikan dan kepentingan orang Asli telah diketepikan. Jika mengikut afidavit dalam kes ini sebanyak 85.4 peratus ketua isirumah orang Asli Kampung Temoi telah bersetuju berpindah ke Sungai Bilut," katanya.

Mohd Zawawi berkata majoriti orang Asli di kawasan itu juga telah bersetuju untuk berpindah dan dalam kes ini hanya tiga orang sahaja yang tidak bersetuju dengan projek pembekalan air itu.

"Tidak syak lagi projek ini adalah projek nasional yang memberi manafaat pada orang ramai. Ini kerana ia akan menampung keperluan air. Dijangkakan dalam beberapa tahun lagi jika tiada projek ini akan ada (timbul) masalah. Kos projek ini RM8 bilion dan yang telah dibelanjakan RM372 juta sejak 31 Disember 2009, ini termasuklah bayaran pampasan pengambilan tanah kepada peneroka Felda.

"Jika mahkamah beri perisytiharan seperti pemohon minta, projek ini akan tertangguh dan menyebabkan bekalan air di Lembah Klang terjejas," katanya.

Permohonan semakan kehakiman ini difailkan pada 9 Okt 2007 oleh tiga orang Asli suku kaum Senoi dan 24 orang Asli suku kaum Temuan. Pemohon diwakili oleh Pendor bin Anger dan 26 yang lain menamakan ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar, kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka memohon satu perintah deklarasi bahawa kerajaan Pahang dan kerajaan Malaysia dalam memutuskan untuk membatalkan Warta No 10 bertarikh 29 Nov 1976, iaitu tanah yang mereka diami, telah mengingkari kewajipan fidusiari terhadap mereka.

Mereka mendakwa tanah itu adalah tanah turun-temurun dan telah mewarisinya sejak zaman nenek moyang mereka lagi dan mereka juga mencari rezeki di kawasan itu untuk menyara keluarga.

Mereka juga memohon perintah deklarasi bahawa kerajaan Malaysia yang meluluskan pembinaan projek empangan itu telah mengingkari kewajipan fidusiari untuk melindungi, memajukan dan memelihara orang asli di negara ini.

Orang Asli itu mendakwa mereka tidak tahu menahu tentang laporan EIA yang diluluskan oleh pihak kerajaan pada 24 April 2001 mengikut Seksyen 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sehingga diberitahu oleh peguam mereka.


Tiada ulasan: