HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2010

Penduduk Sarawak mahu Taib undur

FREE MALAYSIA TODAY

Taib Mah KUCHING: Rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia menyertai satu gerakan bersama penduduk asal di negeri itu mahu Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud berundur secepat mungkin.

Ketua Gerakan Untuk Perubahan Sarawak (MoCS) Paul Siah berkata kini ramai rakyat Sarawak yang tinggal di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu mahu lihat perubahan kepimpinan.

"Saya telah berjumpa dengan 300 rakyat Sarawak yang tinggal di sekitar tiga buah bandar sejak beberapa bulan lalu dan mereka menyatakan pendirian yang sama – Taib telah lama menjadi Ketua Menteri dan beliau harus letak jawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Rakyat Sarawak yang terdiri daripada golongan profesional, pekerja kolar biru dan pelajar semuanya sedar dengan perkembangan keadaan di negeri asal mereka dan tidak mahu isu negatif terus membelenggu nasib negeri itu," katanya.

Siah, seorang pengarang veteran Sarawak yang menetap di Kuala Lumpur sejak 17 tahun lalu telah kembali semula ke kampung asal di Kuching kini bergerak aktif meneraju MoCS.

MoCS diwujudkan sebagai sebuah badan bebas yang bergerak untuk membangunkan satu budaya politik baru di Sarawak.

"MoCS kini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat Sarawak di Semenanjung berikutan fungsinya yang menjadi entiti bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti," katanya.

Taib bermain tarik-tali

Taib dalam kenyataannya Selasa lalu masih lagi berteka-teki dalam mempertahankan jawatannya atas alasan keputusan itu terletak di tangan parti dan Perdana Menteri.

"Saya minta Taib segera berhenti memperbodohkan dirinya kerana beliau dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan lebih besar kuasanya daripada Najib, semua orang tahu pasal itu.

"Jika beliau mahu berundur, siapa dalam PBB atau Najib sendiri yang berani kata ‘tidak’.

"Walaupun jika Najib suruh Taib lepaskan jawatan, tidak semestinya beliau perlu patuh arahan Najib kerana Taib begitu berkuasa," ujar Siah.

Beliau berkata Taib perlu melihat respon daripada MoCS secara serius kerana rakyat Sarawak kini mahukan perubahan dan ia mestilah bermula daripada kepimpinan teratas.

"Tidak ada sebab lagi bagi Taib mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Menteri," kata Siah.

Beliau mendedahkan ramai rakyat Sarawak kini terpaksa meninggalkan negeri Bumi Kenyalang itu dan berhijrah ke Semenanjung kerana tiada jaminan masa depan karier yang kukuh di situ.

Salah satunya adalah kerana polisi pentadbiran yang diterajui Taib.

Siah berkata ramai rakyat Sarawak di Semenanjung berhasrat untuk kembali semula ke sana hanya jika ada sesuatu yang berguna bagi mereka dibangunkan.

Taib, 74, merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat sebagai Ketua Menteri (29 tahun sejak 26 Mac 1981) kini menjadi sasaran kritikan politik sejak kebelakangan ini.

Beliau kini dikatakan menerima pelbagai tekanan supaya melepaskan jawatannya termasuk dari Barisan Nasional sendiri.

Tiada ulasan: