HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2010

PM kecewa serangan ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut melahirkan rasa kecewa atas tindakan penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Perdana Menteri menzahirkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam, setelah beliau memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku.

“Sudah tentu beliau amat kecewa. Perdana Menteri berpendapat adalah salah bagi mereka bertindak sedemikian. Namun beliau mempunyai keyakinan dengan pihak berkuasa Indonesia, beliau yakin terhadap Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) bahawa perkara ini akan diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di sini hari ini.

Anifah berkata mesyuarat Kabinet semalam sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.

Anifah berkata Kementerian Dalam Negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan “perlakuan keji” tersebut memandangkan tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Beliau berkata lebih-lebih lagi apabila Ketua Bendera itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya, yang boleh dijadikan bahan bukti.

“Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, penunjuk perasaan daripada kumpulan Bendera dipercayai bertindak sedemikian bagi menandakan kemarahan terhadap Malaysia terutama berhubung penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini.

Anifah berkata Malaysia bagaimanapun tidak mengharapkan Indonesia memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku itu, memandangkan ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia itu, walaupun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan.

“Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita, dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas permintaan Parlimen Indonesia agar Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugas KKP itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, memandangkan pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.

Dalam perkembangan lain Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

“Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: