Seminggu sahaja lagi kita akan menyambut kemerdekaan tanahair kita yang ke-53. Lalu berkumandanglah lagu-lagu patriotik di saluran radio dan televisyen milik kerajaan dan juga "sedikit" bantuan daripada media-media aliran utama yang dimiliki oleh gabungan parti-parti politik pemerintah.
Rakaman video bersejarah peristiwa penurunan Union Jack dan laungan kemerdekaan oleh Tunku, dan iklan-iklan menarik beberapa syarikat yang ditubuhkan kerajaan diulang-tayangkan seolah-olah ada pesanan "subliminal" yang hendak ditanam dalam minda rakyat.
Bendera Malaysia yang dikenali sebagai Jalur Gemilang yang "kebetulan" menyerupai bendera Amerika Syarikat yang dikenali antara lainya sebagai "The Stars and Stripes", anehnya nama bendera pun lebih kurang maksudnya. Jika difikirkan nama Negara pun lebih kurang juga, cuba bandingkan The United States of America dengan The Federation of Malaysia.
Jalur Gemilang yang berkibaran semakin berkurang
Sejak minggu lepas lagi sudah kelihatan Jalur Gemilang dikibarkan di premis-premis perniagaan, dan bangunan-bangunan kerajaan dan korporat besar. Jalur Gemilang kita "sebenarnya" berasaskan bendera Malaya yang diluluskan oleh King George VI pada 19 May 1950.
Namun entah mengapa beberapa tahun kebelakangan ini semakin kurang bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan, semakin kurang perayaan Kemerdekaan diadakan, dan yang diadakan pun kurang mendapat sambutan berbanding zaman-zaman Mahathir Mohamad memegang tompok pimpinan.
Sebaliknya semakin banyak tunjuk perasaan dan demonstrasi yang membantah tindakan-tindakan kerajaan. Kerajaan pula terus mengambil tindakan keras terhadap perkara-perkara seremeh komik. Pada bulan Jun yang lalu, Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Di dalam sebuah "negara merdeka" ini, kita masih terkongkong dengan Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Polis, Akta Fitnah, Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kesemua akta ini (antaranya) secara terang menyekat kebebasan manusia dan bercanggah dengan hak asasi manusia.
Rakyat juga sudah kreatif dalam melahirkan ketidakpuasan mereka. Ramai yang memblog akan ketidakpuasan mereka, ada yang mengubah lagu melahirkan ketidakpuasan mereka, ada pula yang berkomedi, tidak kurang yang membuat pementasan theater, ada yang membuat filem, ada yang membuat dokumentari, ada pula melukis.
Hanya protes jalanan nampak berkesan
Namun kesemua ini tidak diparwahkan oleh pihak pemerintah, hanya protes jalanan yang nampaknya berkesan memperoleh reaksi mereka. Rasanya rakyat Malaysia tidak akan memilih jalan raya jika kerajaan peka dengan tuntutan rakyat yang dibuat melalui memorandum dan sebagainya, malangnya tidak ada satu pun dokumen yang diserahkan oleh mana-mana persatuan sivil kepada kerajaan berjaya untuk mencetuskan apa-apa perubahan.
Sudah mula wujud sebilangan besar rakyat yang tidak puas hati dengan polisi-polisi kerajaan. Polis mendakwa mereka adalah ancaman kepada keselamatan negara. Masyarakat India telah melahirkan kekecewaan dengan kerajaan pusat melalui perhimpunan HINDRAF. Perhimpunan BERSIH pula menontonkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum menuntut pilihan raya yang lebih adil, telus dan bersih.
Tidak lupa juga dengan kekecohan yang berlaku di Ipoh, Perak. Golongan mahasiswa pun telah mula menyengat kerajaan dengan menuntut supaya penglibatan politik tidak dijenayahkan di bawah AUKU. Malah ahli-ahli Majlis Peguam Malaysia pun telah turun ke jalan raya untuk menuntut siasatan ke atas badan kehakiman negara.
Persoalannya, mengapakah rakyat memilih jalan raya sebagai wadah? Layanan pihak polis dalam usaha meleraikan perhimpunan-perhimpunan itu pula begitu ganas sekali seolah-olah mereka adalah pihak penjajah dan kita adalah yang dijajah. Barangkali semangat Merdeka itu sudah layu? Barangkali rakyat sudah mula rasa tertindas? Barangkali kebebasan itu sudah menjadi satu ilusi? Adakah pihak berkuasa lupa akan kata-kata Tunku ketika permasyhuran kemerdekaan?
…dengan limpah rahmat Allah subnahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.
Anehnya empat perkara itulah yang menjadi punca utama kekecohan yang belaku di dalam Negara kita. Pihak-pihak demonstran berpekik-pekik dan meraung kononnya kebebasan dan keadilan Negara telah dinoda politikus-politikus yang rakus dan korup. Pihak penguatkuasa pula berulang kali menggunakan alasan remeh "mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya" untuk memberkas dan menyeksa rakyat dengan gas pemedih mata dan baton-baton FRU yang libasannya teramat sakit. Jika permasyhuran kemerdekaan itu layak dijadikan satu penunjuk aras, rasanya Malaysia sudah kehilangan semangat kemerdekaanya.
Merdeka atau negara polis?
Bagaimana hendak Merdeka tatkala Negara menjadi sebuah negara polis, rakyat menderita disisihkan, dan penunjuk perasaan dibelasah, ditangkap dan dilayan seperti hamba abdi, barangkali lebih teruk lagi? Mengapa pihak berkuasa gagal menghayati semangat kemerdekaan sepertimana yang dimasyhurkan oleh Tunku itu? Barangkali apa yang dilakukan oleh rakyat dengan berprotes dan berdemonstrasi di jalanan adalah disebabkan rasa cinta kepada Negara? Mungkinkah ini manifestasi sifat patriotisme yang melawan segala bentuk kuasa yang menindas rakyat?
Di sebalik acara-acara gilang-gemilang yang dianjurkan Kerajaan untuk kononnya menggambarkan nilai kemerdekaan dan menggalakkan perpaduan, wujudnya semangat kemerdekaan yang amat kuat di kalangan rakyat. Semangat yang jelasnya lebih menggerunkan kerajaan daripada perairan negara yang dicerobohi tentera laut China. Rupanya semangat perjuangan bangsa Malaysia itu masih segar dan masih kuat dalam diri mereka yang turun ke jalanraya untuk melawan kuasa yang menindas.
Patrotisme dan semangat nasionalisme bukan dinilai dari bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan mahupun iklan-iklan menyentuh perasaan di televisyen, tetapi dinilai daripada kesanggupan rakyat untuk menyelar dan melawan penguasa yang zalim dan menindas rakyat. Tiada lagi gambaran perpaduan yang lebih bererti ketika melihat anak-anak muda berbilang bangsa bersatu bertempur dengan FRU. Mungkin mereka mencari kemerdekaan, mungkin mereka cuba mempertahankan Negara daripada dasar-dasar yang menyeleweng dan menekan rakyat.
Kami hanya berharap ketegangan di antara rakyat dan pihak penguasa ini tidak bertukar menjadi angka-angka berdarah. Di mata rakyat pula, perjuangan ini telah pun meragut beberapa nyawa yang kini menjadi pembakar semangat dan asas solidariti mereka. Keadaan ekonomi yang gawat dan isu-isu perkauman yang terus dimainkan oleh politikus-politikus pemerintah sangat jelas kelihatan dan amat membimbangkan.
Ke mana agaknya kita sebagai satu bangsa, menjelang hari ulangtahun kemerdekaan? Hanya masa yang bakal merungkainya, sehingga itu kami mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menghayati Kemerdekaan dan Selamat Meyambut Hari Raya Aidilfithri kepada semua.
*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan