HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2010

Sambutan Merdeka Dicemari Tindakan Fitnah Umno-BN Apikan Sentimen Perkauman

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 hari ini seolah-olah tidak mempunyai jiwa kerana masih ada pihak yang meniupkan api perkauman yang dikhuatir boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

“Tidak ada gunanya jika kita melaungkan Merdeka tetapi hakikatnya ia kosong tanpa amalan.

“Tidak ada guna bercakap soal perpaduan kaum jika masih ada anasir-anasir yang meniupkan api perkauman.

“Malah tidak ada gunanya mengaku antiperkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakkan sikap membenci antara kaum dan agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Merdeka bermaksud bebas daripada segala penindasan dan pengekangan hak hak termasuk undang-undang zalim.

“Erti Merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.

“Merdeka juga bererti kita bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat antirakyat dan antikebebasan.

“Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman. Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut,” katanya.

Tambah beliau, parti DAP sentiasa berjuang dalam usaha mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang dan keadilan untuk rakyat.

“DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.

“Tetapi malangnya usaha dan semangat yang kita lakukan ini cuba dipatahkan oleh pihak yang tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang,” kata beliau.

Beliau juga kesal dengan tindakan akhbar Utusan Malaysia dan beberapa pemimpin Barisan Nasional menabur fitnah terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat.

“Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah dan pembohongan Utusan Malaysia dan pemimpin BN.

“Selain itu, kawan-kawan saya dalam DAP termasuk Tony Pua, Teo Nie Ching, Teresa Kok dan beberapa pemimpin Pakatan lain turut menjadi mangsa,” katanya.

Guan Eng juga berkata, DAP akan tetap meneruskan agenda untuk mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini walaupun ditentang kerajaan BN.

Tiada ulasan: