HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2010

Polis tahan dua lelaki bakar bendera Indonesia ‘balas dendam’

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Polis menasihati orang ramai supaya jangan bertindak di luar batasan dengan melanggar undang-undang demi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata terdapat banyak saluran yang disediakan kerajaan untuk menzahirkan pendapat, aduan mahupun rasa tidak puas hati daripada bertindak mengikut emosi sendiri.

“Kita di sini (Malaysia) punya undang-undang, biarlah polis dan pihak berkuasa yang siasat dan ambil tindakan.

“Orang ramai tak perlu campur urusan itu dengan melakukan demonstrasi sana-sana kerana ia hanya akan jejas imej negara dan ganggu tugas kita (polis),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jaya Jusco Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua lelaki tempatan yang cuba membakar bendera Indonesia di hadapan kedutaan republik itu di sini, kira-kira 2.50 pagi tadi.

Menurutnya kira-kira 15 individu hadir di pejabat kedutaan itu sebelum dua lelaki, yang memberhentikan kenderaannya kira-kira 50 meter dari pejabat berkenaan, turun dan cuba membakar bendera yang dibawa sendiri.

Sabtu berkata kedua-dua lelaki itu yang berumur 20 dan 40 tahun kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Beliau berkata orang ramai diharap tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dan tindakan anasir-anasir luar yang mahu memporak-perandakan keamanan negara.

“Kes disiasat di bawah seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

“Motif kedua-dua lelaki terbabit akan disiasat,” katanya.

Insiden itu dikatakan berlaku ekoran daripada tindakan sekumpulan penunjuk perasaan dari Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang membakar dan meludah Jalur Gemilang.

Sementara itu, Sabtu menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk meraikan Hari Raya agar memaklumkan kepada polis bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

“Ada pelbagai saluran orang ramai boleh gunakan untuk maklumkan pada kita... antaranya menerusi SMS Rakan Cop, talian Hotline 03-2115-9999 atau layari www.copskl.my atau hubungi balai-balai berdekatan,” katanya.

Tiada ulasan: